Sebahagian daripada peserta melihat demostrasi memadamkan kebakaran oleh anggota bomba di progaram COMBAT di Bukit Kwong, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Sebahagian daripada peserta melihat demostrasi memadamkan kebakaran oleh anggota bomba di progaram COMBAT di Bukit Kwong, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Pengalaman melihat sendiri mangsa lemas di depan mata namun tak dapat berbuat apa menyebabkan saya mendaftarkan diri untuk menyertai Latihan Berasakan Masyarakat (COMBAT)," kata Rosdan Ahmad, 38.

Rosdan menyertai COMBAT yang dianjurkan Yayasan Raja Shamri (YRS) bersama hampir 100 penduduk lain sebagai persediaan menghadapi banjir yang sering melanda penempatan di Rantau Panjang.

Katanya, teknik pertolongan cemas dan menyelamatkan diri yang diajar sendiri oleh anggota bomba berkemahiran memberi manfaat kepadanya supaya lebih bersedia bukan sahaja bagi keselamatan diri sendiri malah orang sekeliling.

"Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali dan mahu membantu sebaik mungkin mereka yang ditimpa musibah. Selain itu, kemahiran yang diajar ini juga dapat membantu saya supaya lebih tenang berhadapan sebarang situasi getir.

"Pelbagai insiden di luar jangka boleh berlaku ketika banjir, jadi penting untuk saya dan keluarga mengetahui teknik tertentu supaya kami boleh melalui setiap cabaran dengan baik.

"Semoga saya mendapat ilmu yang berguna sebagai persediaan berhadapan sebarang kemungkinan sepanjang banjir namun dalam masa sama saya berdoa semoga banjir tahun ini tidak sebesar bah lalu," katanya ketika ditemui dalam program COMBAT di Bukit Kwong, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Suzana Mahadi, 35, dia tidak melepaskan peluang menyertai latihan berasaskan masyarakat itu susulan kediamannya di Kampung Gual Periok, di sini, dinaiki air hampir pada setiap tahun.

Menurutnya, dia mengambil cuti daripada bekerja pada hari ini untuk menyertai COMBAT, tambahan pula ia dikendalikan sendiri oleh pegawai dan anggota JBPM yang berpengalaman.

Pengasas YRS, Raja Shamri Raja Husin, berkata pihaknya menyahut cabaran kerajaan untuk badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan agensi keselamatan dalam menjayakan program latihan berasaskan masyarakat.

"Kami memilih Rantau Panjang sebagai lokasi pertama program COMBAT memandangkan kawasan ini menjadi tumpuan sepanjang banjir selain ia turut membabitkan ramai asnaf dibawah seliaan YRS sendiri.

"Semoga dengan adanya program sebegini, boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat agar lebih bersedia untuk berhadapan dengam bah yang dijangka melanda tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 2:58 PM