FAHMI berucap pada Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2023. FOTO Bernama
FAHMI berucap pada Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2023. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) memperoleh sokongan masyarakat Felda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai, Sabtu lalu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, melihat kepada skor kad keputusan PRK itu secara umum, saluran satu iaitu untuk warga emas di ketiga-tiga Felda iaitu Kemasul, Kemahal dan Chemomoi memberi sokongan padu kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, saluran empat serta lima untuk golongan anak muda di dua felda dalam Dun berkenaan juga secara majoritinya menyokong kerajaan hari ini dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam.

"Kita lihat yang paling penting keputusan PRK Pelangai membuktikan bahawa rakyat Pelangai menolak politik perkauman, politik 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja) dan menyokong Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pos Sedunia 2023 di ibu pejabat Pos Malaysia di sini, hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah bahawa gabungan itu memperoleh undi masyarakat Felda di PRK Dun Pelangai.

Pada PRK Dun Pelangai Sabtu lalu, calon Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi setelah memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi serta calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli yang hanya meraih 47 undi.

Sementara itu Fahmi turut menafikan beberapa pihak kononnya kerajaan menyekat rakyat daripada bersuara dan menyatakan fakta berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebarang tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah berlandaskan undang-undang dan atas permintaan agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyekat akses kepada mana-mana laman web atau akaun.

"Ia tidak bersifat untuk mengekang hak kebebasan bersuara, cuma peringatan saya di Malaysia, kita ada hak bersuara tetapi kita juga ada batas undang-undang dan batas-batas adab," katanya.

Beliau juga memaklumkan setakat hari ini, tiada wartawan yang ditangkap atau surat khabar yang dihentikan perlesenannya di negara ini bagi menyekat kebebasan hak bersuara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 10:40 PM