Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM3.5 juta untuk pemasangan pagar elektrik gajah (SPEG) sejauh kira-kira 89.5 kilometer (km) bertujuan mengelak ancaman haiwan itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sistem SPEG dipasang di Kampung Lawit hingga ke Kampung Belukar Bukit, di daerah Hulu Terengganu sejauh 29.5 km.

Katanya, sistem SPEG turut dipasang di Kampung Pelong sejauh 35 km dan Kampung Payong hingga ke Kampung Chalok Barat sejauh 25 km.

"Pemasangan sistem SPEG akan dibangunkan di Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di daerah Kemaman serta di Kampung Gerdong dan Kampung Lubuk Periuk di daerah Hulu Terengganu.

"Pemasangan sistem SPEG bertujuan mengelak ancaman gajah memusnahkan tanaman penduduk akan dilakukan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12)," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Jabi berkata, selain pemasangan SPEG, kaedah lain dilakukan bagi mengelak ancaman gajah adalah tembak halau dan tangkap pindah.

"Kerajaan negeri berpendapat, kaedah pemasangan SPEG dan tembak halau lebih menjimatkan kos jika dibandingkan menggunakan kaedah tangkap dan pindah," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima 117 aduan gangguan gajah sejak Januari hingga Ogos lalu.

Katanya, sebanyak tiga gajah ditangkap dan dipindahkan dalam tempoh lapan bulan mulai Januari lalu.

"Sebanyak empat gajah masing-masing ditangkap pada 2018 dan 2019, 2020 (enam), 2021 (tujuh) dan lima pada tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 11:50 AM