SPRM
SPRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembabitan beberapa individu didakwa terbabit rasuah dan pengubahan wang haram semasa usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh kerajaan.

Menurut sumber, salah seorang individu terbabit adalah seorang peguam didakwa menerima sejumlah wang rasuah yang dikatakan dilaburkan di dalam sebuah syarikat menjalankan pelaburan tidak berlesen.

"Malah, syarikat berkenaan pernah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2021.

"Peguam terbabit juga sebelum ini dikatakan dilantik oleh 1MDB bagi menyelesaikan isu aset 1MDB dengan syarikat luar negara.

"Pegawai SPRM sudah hadir ke firma guaman berkenaan hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan penyiasatan terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Saya menafikan kehadiran pegawai SPRM ke premis peguam itu menyalahi mana-mana akta berkuatkuasa kerana pihaknya mematuhi peraturan serta menyedari privasi antara peguam terbabit dengan klien," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 10:24 PM