GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pemimpin kanan sebuah parti politik bergelar Tan Sri kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM6 juta.

Menurut sumber, suspek ditahan pada 2.45 petang hari ini di Pejabat SPRM Johor Bahru, Johor.

Katanya, suspek berusia 64 tahun itu adalah seorang pengarah syarikat dan pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah pada tahun lalu.

“Kali ini dia dipercayai terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram iaitu menerima, memindah dan menggunakan wang haram hasil rasuah menerusi akaun peribadi dan syarikat miliknya, saudara serta proksi,” katanya.

Difahamkan, penahanan itu dilakukan kerana suspek bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Johor Bahru, esok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 4:30 PM