ABDUL Hadi bersalaman dengan tetamu ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar Bersama Ketua Jabatan Negeri/Persekutuan di Kuala Terengganu, malam ini.
ABDUL Hadi bersalaman dengan tetamu ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar Bersama Ketua Jabatan Negeri/Persekutuan di Kuala Terengganu, malam ini.
Helmy Abd Rahman


KEPEMIMPINAN PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat di Kuala Terengganu, malam esok, untuk memutuskan sama ada akan meletakkan calon bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson atau tidak.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata keputusan akan dimaklumkan kepada media selepas selesai mesyuarat berkenaan pada 10 malam atau paling lewat pada pagi Khamis.

“Kita akan bincang malam esok,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Menteri Besar (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) Bersama Ketua Jabatan Negeri/Persekutuan di Kuala Terengganu, malam ini.

Abdul Hadi berkata, keputusan sama ada meletakkan calon bertanding di kerusi Parlimen itu akan ditentukan selepas mengambil kira pelbagai faktor antaranya berkaitan kekuatan parti lawan.

“Sebabnya sudah ada parti buat kenyataan nak bertanding, kita tengoklah kewajaran parti itu ada kekuatan atau tidak, kita akan lihat pandangan semua pihak khususnya parti kita sendiri.

“Ada PAS Negeri Sembilan, daripada jawatankuasa pilihan raya yang sudah turun ke bawah,” katanya.

Sebelum ini, Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengesahkan akan meletakkan calon bertanding di PRK berkenaan selain personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong yang turut menawarkan diri.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, yang memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi dengan memperoleh majoriti sebanyak 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk V S Mogan dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 11:50 PM