Alias Abd Rani

Muar: Seorang jurulatih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja, Sabtu lalu.

Muhammad Norsyaheed Norazam, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun dekat tangga sebuah sekolah di Bakri pada jam 4.50 petang, 8 Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 14 akta sama.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin dengan mahkamah menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengenakan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta perlu melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili Yazzer Azzad.

TERTUDUH (tengah) di bawa ke Mahkamah Sesyen Muar. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH (tengah) di bawa ke Mahkamah Sesyen Muar. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 4:22 PM