BANDARAYA Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP
BANDARAYA Johor Bahru. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Bandaraya Johor Bahru memerlukan sistem jaringan pengangkutan awam yang relevan, sesuai dengan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang giat dibangunkan ketika ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, oleh itu pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dilihat satu kewajaran di bandar raya ini.

Katanya, kerajaan perlu menaik taraf sistem pengangkutan awam setempat menjadi lebih efisyen sekali gus mengurangkan kesesakan.

"Kita tiada satu jaringan pengangkutan awam yang baik. Sudah tiba masanya bandar raya ini dilengkapi dengan kemudahan LRT seperti di Kuala Lumpur atau di Singapura.

"Mungkin sebelum pembinaan RTS kita tidak melihat keperluan itu, tetapi sekarang tidak lagi. Kalau kita lihat keadaan di bandar raya ini sesak dengan kenderaan.

"Apabila RTS siap kelak, kita jangka seramai 10,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan itu setiap jam, jadi terdapat keperluan mendesak untuk ditambah baik pengangkutan awam bagi menyokong RTS yang menghubungkan bandar raya ini dengan Singapura," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Menara MBJB di sini, hari ini.

Noorazam percaya, keperluan itu bukan sahaja di kawasan pentadbiran MBJB, malah meliputi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan juga Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).

"Johor Bahru bersempadan dengan Singapura dan itu adalah antara faktor kepada kesesakan jalan raya khususnya pada hujung minggu selain pelbagai projek pembinaan yang sedang giat dilaksanakan.

"Kita jangka selepas siap Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) akan mengurangkan kesesakan kerana ada pekerja yang berulang dari Kluang ke JB atau Singapura.

"MBJB juga akan berusaha untuk tambah baik perkhidmatan tempat letak kenderaan di lokasi bersesuaian selain turut menyediakan perkhidmatan 'feeder bus' bagi memudahkan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 1:06 PM