GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Labuan: Sembilan batu nisan ditemukan dicabut di Tanah Perkuburan Islam Jagus di Saguking, dekat sini.

Ahli jawatankuasa Masjid Nur, Munir Kamari, yang menjaga tanah perkuburan itu berkata, beliau kecewa dengan perbuatan vandalisme tersebut dan percaya ia dilakukan secara sengaja.

"Pelaku itu mungkin tidak siuman sehingga sanggup melakukan sedemikian. Jika mereka waras, saya tak rasa mereka sanggup melakukan perbuatan keji itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tanah perkuburan tersebut hari ini.

Katanya, penduduk setempat sedih dan marah dengan perbuatan itu yang bukan sahaja tidak mempedulikan kesucian tanah perkuburan, tetapi juga tidak menghormati dan menyakiti hati orang lain.

Ketua Polis Labuan Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan anggotanya memeriksa kawasan kejadian dan mengumpul maklumat.

"Kami menggesa mana-mana anggota komuniti untuk membuat laporan polis secara rasmi supaya satu penyiasatan yang menyeluruh boleh dimulakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 5:19 PM