KARNIVAL Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 bakal diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini. FOTO AMIR MAMAT
KARNIVAL Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 bakal diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Melaka: Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 yang bakal membuka tirai Jumaat ini 29 September sehinga Ahad 1 Oktober 2023 menyajikan pelbagai aktiviti yang menarik dan mengejutkan bagi memberi kepuasan kepada pengunjung.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, karnival kali ke-8 yang dianggap sebagai mini Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) itu menjanjikan kelainan berbanding penganjuran sebelum ini menerusi pembabitan lebih banyak penyertaan.

Katanya, acara yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam itu dijangka mampu menarik sekurang-kurangnya 45,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya, sekali gus menjadikan karnival itu sebagai antara yang berprestij dianjurkan kerajaan negeri.

"Dalam satu usaha untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), antara lain karnival ini diadakan adalah untuk membangunkan sukan udara, kerjaya udara dan pelancongan udara khususnya dalam kalangan generasi muda di negeri Hang Tuah ini.

"Dengan komitmen kerajaan negeri untuk mempromosikan LTAM, acara itu juga bertujuan menjadikan lapangan terbang berkenaan sebagai pusat aktiviti sukan udara serta pesawat rekreasi dan menariknya, lokasi itu turut berperanan dalam menyumbang kepada matlamat kerajaan negeri untuk menarik 8.4 juta pelancong ke Melaka tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 41 pesawat dengan pelbagai saiz dijangka akan mengambil bahagian dalam KUAM 2023 dengan tujuh daripadanya adalah daripada badan beruniform, 27 pesawat kecil dari kelab penerbangan, sementara enam paramotor dan satu microlight turut menyertai acara ini.

Abdul Razak yang juga Pengerusi KUAM 2023 berkata, pihaknya menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri menyenaraikan 10 acara menarik dan menakjubkan yang boleh disertai oleh pengunjung yang bertandang memeriahkan karnival berkenaan.

Katanya, aktiviti berkenaan adalah pertunjukan menakjubkan payung terjun dan aerobatik pesawat oleh pasukan payung terjun profesional dan juruterbang aerobatik yang akan menjadikan ruang angkasa Melaka sebagai pentas mereka.

Katanya, acara ini pasti memukau dan memberikan pengalaman yang sama sekali tidak akan dilupakan.

Beliau berkata, turut diadakan adalah pameran pelbagai jenis pesawat membabitkan agensi beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan Maritim serta pesawat dari kelab penerbangan, akademi penerbangan dan pesawat persendirian.

Malah, pengunjung akan mendapat peluang untuk mendekati dan mengenal lebih dekat pelbagai jenis pesawat yang berperanan dalam keselamatan dan perjalanan udara.

"Bagi mereka yang berminat dalam kerjaya beruniform terdapat pameran oleh ATM membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PDRM serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Turut disediakan, pameran akademi penerbangan dengan peluang peluang diberikan kepada individu yang berminat untuk menyertainya dan sudah pasti, pameran ini akan memberikan wawasan mengenai pelbagai kursus dan latihan yang ditawarkan dalam bidang penerbangan," katanya.

Abdul Razak berkata, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menjadi pengawal trafik udara dengan menggunakan simulator yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekali gus membolehkan pengendalinya memahami kompleksiti dalam mengawal perjalanan udara.

Katanya, turut diadakan, sesi taklimat kerjaya penerbangan oleh TUDM dan ia adalah peluang terbaik untuk mendapatkan pemahaman secara mendalam mengenai kerjaya penerbangan.

"Di pihak TLDM pula menyediakan temu duga secara walk-in untuk mereka yang berminat untuk menyertai pasukan tentera laut dengan hanya membawa bersama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pada masa sama, pertandingan fotografi, Tiktok dan mewarna adalah aktiviti seni mengujakan yang menjadi sebahagian daripada acara sempena KUAM 2023. Pertandingan ini membuka peluang kepada semua generasi untuk menunjukkan bakat semula jadi mereka serta mendapat pengiktirafan," katanya.

Jualan makanan tempatan dan antarabangsa serta cenderamata penerbangan turut disediakan di gerai jualan di lokasi penganjuran KUAM 2023.

"Kami turut menyenaraikan perkhidmatan joyride dengan pesawat helikopter sebagai memberi peluang orang awam merasai pengalaman menaiki penerbangan yang unik menggunakan pesawat Heli Bell 407GX menerusi bayaran RM270 untuk setiap individu dewasa atau kanak-kanak.

"Mereka akan mengelilingi ruang angkasa Melaka selama kira-kira 10 minit dengan bayaran sangat minimum dan ia dianggap sebagai antara tarikan utama pengunjung ke karnival yang dikenali mini LIMA itu," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, untuk mengunjungi zon pameran pesawat statik, orang ramai akan dikenakan bayaran RM5 untuk dewasa dan RM2 (kanak-kanak), namun, pameran agensi kerajaan di luar zon parkir pesawat adalah percuma.

Katanya, kemudahan tempat letak kenderaan juga disediakan oleh syarikat Panorama Melaka dan Kumpool Kasturi yang akan menyediakan perkhidmatan shuttle untuk membawa orang ramai ke lokasi penganjuran.

"KUAM 2023 pastinya akan menjadi acara yang sangat menarik, hebat serta memikat untuk semua golongan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyertainya dan menjadikan ia sebagai sejarah hidup yang menarik ini. Sertai kami dalam meraikan kemegahan penerbangan di Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 8:00 AM