GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyasarkan sebanyak 40,000 anjing di seluruh Sarawak mendapatkan vaksinasi tahun ini bagi mengekang penularan penyakit rabies.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, sebanyak 27,668 anjing di negeri berkenaan sudah mendapatkan suntikan vaksin penuh termasuk dos booster sehingga 7 September lalu.

Menurutnya, Sarawak belum bebas dan berada dalam fasa endemik penyakit itu, namun beliau yakin ia dapat dibanteras sepenuhnya menjelang 2030 sekali gus membebaskan negara daripada rabies dengan pembabitan semua pihak.

Katanya, susulan itu pihaknya melalui JPV sentiasa komited dan giat melaksanakan kempen kesedaran penyakit berkenaan di seluruh negara tidak hanya di Sarawak saja.

"Sebanyak 949 anjing dan kucing di Sarawak dijangkiti rabies bagi 2017 hingga tahun ini, manakala bagi kes yang menjangkiti manusia pula bagi tempoh sama adalah sebanyak 72 kes dan menyebabkan sebanyak 65 kematian.

"Justeru penyakit ini tidak boleh diambil ringan dan semua pihak perlu mempunyai kesedaran mengenainya. KPKM melalui JPV dengan kerjasama pelbagai Kementerian, jabatan dan agensi berusaha keras mencegah, mengawal dan membasmi penyakit itu.

"Pemilik haiwan peliharaan juga diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak mengabaikan kebajikan haiwan mereka.

"Vaksinlah haiwan peliharaan demi melindungi bukan saja haiwan berkenaan tetapi kita dan keluarga daripada anacaman penyakit bawaan haiwan," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Sambutan Hari Rabies Sedunia 2023 di Hospital Veterinar Kuala Lumpur, Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Awam Veterinar JPV Dr Rohaya Mohd Ali dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Anita Suleiman.

Chan berkata, JPV sudah memvaksin 7,430 anjing bertuan termasuk di kawasan penampan dan 6,230 anjing di Semenanjung dan Sabah dalam usaha meningkatkan liputan imuniti anjing sebanyak 70 peratus bagi memastikan jangkitan rabies dapat dihindari dalam populasi anjing.

Katanya, di Sarawak, 19.36 peratus haiwan didapati positif rabies melalui sampel yang diambil membabitkan anjing positif rabies sebanyak 92.78 peratus dan kucing positif rabies sebanyak 7.22 peratus.

Sementara itu, Dr Rohaya berkata, kerajaan Sarawak menjalankan usaha melesenkan anjing dan mendaftarkan pemiliknya selain JPV negeri berkenaan juga mewajibkan semua anjing peliharaan perlu divaksin supaya dapat mencegah jangkitan penyakit itu.

"Kita juga mengawal penyakit itu dengan mengawal populasi anjing (termasuk anjing terbiar jadi) kita galakkan untuk memandulkan anjing dan kucing," katanya memaklumkan hanya Sarawak masih berlaku kes rabies, manakala Semenanjung dan Sabah tiada kes berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 3:16 PM