Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak memberi suntikan vaksin rabies kepada kucing peliharaan penduduk di Kampung Paon Rimo Serian. FOTO Mohd Radzi Bujang
Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak memberi suntikan vaksin rabies kepada kucing peliharaan penduduk di Kampung Paon Rimo Serian. FOTO Mohd Radzi Bujang
Mohamad Zulhairie Manzaidi


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan mewajibkan pemilik anjing dan kucing di negeri ini mendapatkan suntikan vaksin susulan wabak rabies di beberapa negeri.

Pengarah JPV Kelantan, Dr Suratan Kamarudin berkata, vaksin untuk haiwan peliharaan sudah lama disediakan JPV namun tidak ramai pemilik sedar mengenai kepentingannya.

"Selain itu, kita juga mewajibkan semua pemilik anjing di negeri ini supaya mempunyai lesen pemilikan anjing agar mudah dipantau.

"Anjing peliharaan yang tidak berlesen akan dianggap sebagai anjing liar dan JPV berhak menangkapnya," katanya ketika ditemui selepas Kempen Kesedaran Avian Influenza (H5N1), Majlis Persaraan Staf JPV dan Ramah Mesra Raya di pejabat JPV, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kerajaan Negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Mengulas mengenai rabies atau anjing gila, Dr Suratan berkata, Kelantan masih selamat daripada wabak itu.

Bagaimanapun, pemantauan sentiasa dilakukan bagi memastikan Kelantan benar-benar bebas wabak.

"JPV sentiasa melakukan pemantauan berkala bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri ini dalam membanteras anjing liar.

"Setiap tahun, JPV diwajibkan menghantar 40 sampel anjing liar yang ditangkap ke Institut Penyelidikan Veterinar (IPV) di Ipoh, Perak untuk kajian," katanya.

Bermula tahun ini, sudah 11 sampel dihantar dan keputusan diperoleh adalah negatif penyakit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 4:49 PM