UNTUK bercerita panjang lebar berkaitan topik pelancongan di bumi Maghribi, agak `payah' berikutan tujuan penulis ke negara itu lebih memfokuskan tragedi gempa bumi meragut 3,000 nyawa rakyatnya awal September lalu.
Tiada banyak masa untuk 'pusing-pusing' makan angin di sana. Waima untuk sampai ke negara utara Afrika ini juga bukanlah mudah. Tiada penerbangan terus dari Malaysia ke sana.
Penulis perlu terbang 7 jam dan singgah transit selama 8 jam di Istanbul, Turkiye sebelum menyambung penerbangan 7 jam lagi ke Marrakesh, Maghribi.
Biarpun tidak disyaratkan memohon visa untuk memasuki negara ini namun pelbagai soalan diajukan pegawai imigresen sebaik penulis tiba di Marrakesh Menara Airport.
Pegawai imigresen bertugas mengasak pelbagai pertanyaan. Apa tujuan penulis mahu memasuki negara itu. Tidur di hotel mana dan berapa duit dibawa.
Jika penulis jujur mengaku bertugas sebagai warga media, nescaya masalah lebih besar akan timbul dan penulis bakal ditahan untuk soal siasat lanjut. Isu pas kebenaran media dan lain-lain pasti akan timbul apatah lagi penulis pernah memasuki Iran, Afghanistan dan Gaza, Palestin sebelum ini.
Namun selepas menyatakan hasrat penulis mahu melancong, pegawai imigresen bertugas akhirnya mengecop pasport penulis dengan penuh sangsi.
Tidak cukup dengan itu, seorang pegawai kastam wanita turut menahan bagasi penulis untuk digeledah sebaik melepasi mesin pengimbas. Kotak minyak wangi dibeli di kedai bebas cukai di Istanbul turut menjadi subjek soal jawab.
Memang luar biasa sambutan diterima penulis dalam tugasan 'sulit' ini. Penulis akhirnya berjaya lolos dari lapangan terbang berkenaan bersama Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail dan Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar.
Kami kemudian mengambil teksi sebelum meminta dihantar ke Hotel Atlas di tengah bandar Marrakesh yang terletak kira-kira 20 kilometer dari lapangan terbang itu.
Masalah muncul lagi apabila pemandu teksi memberhentikan kereta di bahu jalan sambil mengarahkan kami berjalan ke arah lorong sempit berhampiran.
Dakwanya hotel mahu dituju itu hanya terletak berhampiran sahaja. Kami pun mengheret bagasi masing-masing ke arah lorong sempit yang dilatari bangunan-bangunan lama di situ.
Ternyata lorong itu berselirat ibarat 'maze garden' hingga menyebabkan kami tersesat. Hampir dua kilometer kami berpusing-pusing di dalamnya sebelum berjaya menemui pintu kayu hotel berkenaan.
Hotel berkenaan agak unik dan penuh dengan elemen 'rustic' timur tengah. Dekorasi agak minimalis berikutan saiznya yang agak kecil. Terdapat tiga tingkat bilik dengan hanya satu pintu masuk dan keluar.
Secara jujur, hotel begini ibarat perangkap maut. Jika berlaku kebakaran atau gempa bumi, penghuni akan 'mati keras' berikutan tiada pintu kecemasan untuk melarikan diri.
Apapun penulis pasrah berikutan kedudukannya yang agak strategik untuk ke lokasi bencana dan mempunyai talian Wifi agak stabil.
Secara amnya, Marrakesh adalah kota ke tiga terbesar di Maghribi selepas Casablanca dan ibu negaranya, Rabat.
Bandar ini yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO sejak abad ke-12, dipenuhi elemen antik dan silam berlatar belakangkan bangunan serta budaya Arab masyarakat setempat.
Tidak hairanlah jika bandar ini dipenuhi dengan ribuan pelancong Eropah terutama dari Perancis dan Sepanyol.
Lokasi wajib lawat di Marrakesh sudah pastinya adalah dataran Jemaa El-Fnaa yang dianggap `nyawa' atau pusat pelancongan bandar purba ini.
Dataran ini menjadi pusat segalanya aktiviti kebudayaan tarian, jualan barangan kraftangan tempatan, pelbagai juadah makanan tempatan, menaiki pedati kuda sehinggalah kepada kegiatan 'scammer' jalanan.
Bukan bermaksud menakut-nakutkan namun berdasarkan pemerhatian, pelancong akan diperangkap jika cuba-cuba mendekati kumpulan individu dipanggil 'pawang ular' ini.
Kumpulan ini akan membuat pertunjukan menggunakan ular tedung atau pelbagai ular berbisa lain. Mereka gemar meletakkan ular pada leher pelancong untuk mangsa mengambil gambar `kenang-kenangan'.
Namun pelancong perlu membayar sejumlah wang jika mahu ular itu yang membelit leher mereka diambil semula oleh pawang ular. Begitu juga dengan monyet yang tiba-tiba memanjat bahu atau kepala pelancong. Semuanya perlu dibayar walaupun tidak diminta. Bagaimanapun penulis tidak menuduh semua mereka sama, mungkin hanya segelintir yang melakukannya.
Di sini juga terhadap deretan gerai menjual pelbagai air buah-buahan segar. Namun malangnya air buah dibeli `cair' dan harganya menjangkau 30 Dirham (RM15) segelas.
Tidak pasti jika penjual mencampurkannya dengan air namun rasanya jauh berbeza dengan air buah pekat dibeli di Kaherah, Mesir.
Selain itu, pelancong wanita pastinya akan rambang mata dengan pelbagai perhiasan, barangan antik, aksesori dan pakaian wanita yang dijual di sekitar dataran Jemaa El-Fnaa dan beribu kedai sekitarnya.
Cuma nasihat penulis, jangan lupa untuk tawar menawar. Kalau boleh minta diskaun 50 peratus berbanding harga ditetapkan. Jika tidak, anda akan 'dipotong leher'.
Apa yang penulis lihat, dataran ini `hidup' dan meriah setiap petang hingga jam 3 pagi. Dipenuhi puluhan ribu pelancong dan orang tempatan tanpa ada istilah cuti walaupun ketika sambutan Maulidur Rasul lalu.
Jika ke dataran Jemaa El-Fnaa ini, tidak lengkap tanpa mengunjungi Masjid Kutubiyya yang dibina pada abad ke-12 iaitu ketika dinasti Almohad.
Malangnya ketika penulis berada di sini, kawasan Masjid Kutubiyya ditutup susulan kerosakan pada tembok dan dinding kesan gempa bumi yang berlaku.
Kerja baik pulih sedang giat dilakukan di dalam dan luar masjid. Malah banyak bangunan dan hotel yang retak atau runtuh kesan gempa bumi itu turut menjalani proses pembianaan semula.
Melihat kepada cara hidup orang Maghribi, penulis merasakan ia tidak jauh bezanya berbanding rakyat Malaysia. Mereka tidak terlalu ekstrim malah wanitanya bebas untuk bertudung atau sebaliknya.
Di bawah pemerintahan Raja Mohammed VI, Maghribi semakin pesat membangun baik dari segi kuasa ekonomi, pelaburan asing selain pelancongan yang terus berkembang.
Namun pujian harus penulis berikan terhadap rata-rata orang Maghribi yang penulis temui apabila mereka mudah disapa mesra, tidak lokek senyuman dan melayan orang asing dengan amat baik.
Ini terbukti apabila penulis akan dihidangkan air teh panas pudina atau dipanggil `Atay Bi Nana' bersama biskut atau kismis setiap kali singgah di perkampungan. Malah ada juga yang menghidangkan sajian istimewa daging 'tajine' yang dimasak dalam bekas tanah khas bersama roti 'khobz'.
Sepanjang tujuh hari di sana, penulis lebih banyak menghabiskan masa berulang alik ke kawasan pergunungan Atlas termasuk di bandar Al-Haouz yang menjadi pusat gempa bumi.
Untuk sampai ke lokasi, penulis perlu menaiki kereta atau pacuan empat roda yang mengambil masa perjalanan 3 jam dari bandar Marrakesh.
Walaupun disajikan dengan pemandangan menyedihkan runtuhan berpuluh ribu rumah mangsa gempa bumi, namun penulis turut kagum dengan keindahan lembah hijau di pedalaman Maghribi.
Di sini, sungai jernih mengalir melalui kebun-kebun pokok zaitun, pohon epal, pokok buah Tin, avocado dan pelbagai sayur-sayuran yang ditanam penduduknya. Melintasi lembah hijau di beberapa lokasi ini membuatkan penulis terpesona dengan keindahan alam ciptaan Tuhan.
Penulis yakin, dengan usaha keras dan bantuan berterusan diberikan pihak kerajaan Maghribi, rata-rata mangsa gempa bumi ini mampu bangkit semula dan membina kehidupan baharu. Kesungguhan ini dapat dilihat apabila pihak tentera, agensi penyelamat dan jabatan kerajaan lain masih bertungkus lumus menyalurkan bantuan walaupun bencana gempa bumi sudah hampir sebulan berlalu.
Sebelum pulang ke Tanah Air, penulis berkesempatan singgah di Masjid Hassan II terletak di Casablanca yang terkenal dengan keunikan seni binanya selain menghadap Lautan Atlantik. Mungkin untuk sampai ke negara ini akan memakan belanja besar namun bagi penulis ia amat berbaloi bagi `kaki melancong' yang mahukan pengalaman baharu.