Mohd Haris memeriksa senjata api sebelum dilupuskan di IPD Kudat. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris memeriksa senjata api sebelum dilupuskan di IPD Kudat. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Kudat: Bahagian Pelesenan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, kelmarin melupuskan 42 senjata api limbahan tidak dituntut oleh pemilik berdaftar termasuk senapang patah dan raifal.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua senjata limbahan itu adalah milik orang awam disimpan di dalam stor senjata IPD Kudat.

"Bahagian Pelesenan IPD Kudat telah mengambil tindakan untuk melupuskan sebanyak 42 laras senjata api pelbagai jenis.

"Semua senjata limbahan ini disimpan dan tidak dituntut di stor IPD Kudat melebihi tempoh masa yang dibenarkan oleh undang-undang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, mengikut Seksyen 27(2) Akta Senjata 1950, pihak polis mempunyai hak melupuskan senjata tumpangan tidak dituntut dalam tempoh enam bulan.

Notis tuntutan awal sudah diserahkan menerusi program pertemuan dialog bersama pemilik senjata, pada Julai lalu supaya diambil tindakan dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, ia membabitkan proses pindah milik bagi waris mengambil senjata api ini, namun malangnya tiada sebarang tindakan diambil daripada pemilik.

"Ramai tidak menuntut senjata ini dipercayai disebabkan mereka sudah tidak berminat memiliki senjata api itu.

"Ini adalah langkah proaktif bahagian pelesenan dan logistik persenjataan IPD Kudat untuk mengambil tindakan terhadap senjata api yang ditumpangkan dan mengelak lambakan senjata api dalam stor," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 1:44 PM