Juwan Riduan


Penampang: Bahagian Perlesenan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini, melupuskan 60 senjata api limbahan yang tidak dituntut oleh pemilik berdaftar.

Pelupusan senjata api itu membabitkan 54 'shotgun', empat laras rifled, sepucuk senjata 'spare gun' dan sepucuk pistol jenis revolver.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua senjata limbahan ini adalah milik orang awam yang disimpan di dalam stor senjata IPD Penampang.

Bagaimanapun katanya, mengikut Seksyen 27(2) Akta Senjata 1950, pihak polis mempunyai hak untuk melupuskan senjata tumpangan yang tidak dituntut dalam tempoh enam bulan.

"IPD Penampang merekodkan keseluruhan sebanyak 91 senjata api yang disimpan di dalam stor. Malah ada antara senjata api ini tidak dituntut sejak tahun 2005.

"Hari ini, kita melupuskan 60 senjata api manakala selebihnya kita akan memberi ruang kepada pemilik untuk mengambil tindakan segera," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Senjata Api Limbahan di Garaj MPV, IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, notis tuntutan awal sudah diserahkan menerusi program pertemuan dialog bersama pemilik senjata pada Mac lalu supaya diambil tindakan dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, ia membabitkan proses pindah milik bagi waris mengambil senjata api ini, namun malangnya tiada sebarang tindakan diambil daripada pemilik.

"Secara keseluruhan, ramai yang tidak menuntut senjata ini dipercayai disebabkan mereka sudah tidak berminat untuk memiliki senjata api itu.

"Kebanyakan pemilik senjata api ini adalah dari syarikat keselamatan dan juga pemilik lesen individu atau persendirian yang sudah tidak berminat untuk menyimpan senjata ini lagi," katanya.

Mohd Haris berkata, ini adalah langkah proaktif bahagian pelesenan dan logistik persenjataan IPD Penampang untuk memberi ruang kepada senjata milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam lain.

Terdahulu, dalam majlis berasingan, Mohd Haris mengumumkan penerimaan satu pondok bit PDRM yang disediakan di Baverly Plaza sebagai salah satu fasiliti keselamatan di kawasan berkenaan.

Katanya, kekerapan kehadiran polis di kawasan itu sekali gus akan membantu mengurangkan kemungkinan kejadian jenayah di kawasan ini.

DEPUTI Superintendan Mohd Haris Ibrahim bersama senjata api yang akan dilupuskan selepas tidak dituntut oleh pemiliknya. FOTO JUWAN RIDUAN
DEPUTI Superintendan Mohd Haris Ibrahim bersama senjata api yang akan dilupuskan selepas tidak dituntut oleh pemiliknya. FOTO JUWAN RIDUAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 1:23 PM