KONTINJEN yang menjuarai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul anjuran Masjid Bandar Seri Putra. FOTO ihsan Masjid Bandar Seri Putra
KONTINJEN yang menjuarai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul anjuran Masjid Bandar Seri Putra. FOTO ihsan Masjid Bandar Seri Putra
Sudirman Mohd Tahir


Bangi: Buat julung kali Masjid Bandar Seri Putra menganjurkan pertandingan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah tahun ini yang diadakan di Bandar Seri Putra, di sini.

Bertemakan 'Mari Menghidupkan Sunnah Berjemaah', perarakan disertai kira-kira 400 peserta daripada 10 kontinjen membabitkan surau berhampiran, sekolah, tadika pusat asuhan tunas Islam, entiti perniagaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Turut serta, Nazir Masjid, Prof Emiritus Datuk Dr Ir Riza Atiq OK Rahmat dalam kumpulan utama bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan orang ramai yang hadir secara berdaftar dan sukarela.

Menerusi pertandingan itu, kontinjen Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra dinobatkan sebagai pemenang, manakala Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra di tempat kedua dan ketiga menjadi milik kontinjen McDonald's Malaysia.

Acara perarakan bermula pada jam 8.30 pagi, melalui laluan jalan utama sekitar Persiaran Seri Putra 1 sejauh 1.7 kilometer (km) dan kembali ke masjid jam 9.30 pagi.

Majlis dimulai dengan bacaan ayat al-Quran oleh Johan Qari Melaka, Ustaz Muhammad Khairi Maidini.

Kemuncak majlis adalah perasmian yang disempurnakan oleh wakil Pejabat Agama Daerah Hulu Langat, Khairul Nadzri Shakor.

Turut diadakan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan Shahrizan Daud al-Turabi.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada penaja program termasuk restoran McDonald's Seri Putra, Ana D First, Belanga Emas, D Qaseh, Delima dan AzZuha Travel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 3:20 PM