PERARAKAN sambutan di Putrajaya, semalam.
PERARAKAN sambutan di Putrajaya, semalam.
Syaikh Ismail (dua dari kanan) menerima anugerah daripada Muhyiddin.
Syaikh Ismail (dua dari kanan) menerima anugerah daripada Muhyiddin.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Tindakan segelintir individu yang menyebarkan berita palsu dan fitnah menerusi media sosial sehingga menjadi ‘viral’ ketika musibah banjir baru-baru ini boleh disifatkan sebagai satu perbuatan keji dan tidak membayangkan akhlak seorang Muslim, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1436H/2015M yang bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di Masjid Putra, di sini, semalam.

Menurutnya, perbuatan berkenaan juga t bertentangan dengan ajaran Islam kerana cerita yang direka itu berniat jahat selain menimbulkan rasa resah dan gelisah dalam kalangan rakyat.

“Perbuatan itu juga boleh mewujudkan rasa benci dan permusuhan sesama Islam. Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tidak mudah mempercayai berita palsu yang tersebar di media sosial.

“Allah SWT menggelarkan orang yang menyebarkan berita palsu sebagai orang yang fasik. Justeru, semak dulu sebarang berita yang diterima dengan sumber sahih,” katanya.

Hadir sama isteri Muhyiddin, Puan Seri Norainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau turut memuji keprihatinan masyarakat di negara ini yang membantu mangsa banjir dengan menghulurkan pelbagai bantuan dan sokongan.

Muhyiddin berkata, mereka menghulurkan pelbagai bantuan sama ada berbentuk barangan, wang ringgit dan tenaga untuk membantu mangsa banjir.

“Ini satu contoh akhlak terpuji yang diamalkan oleh rakyat negara ini tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menggesa umat Islam di negara ini supaya sentiasa berusaha memperkukuh dan meningkatkan kefahaman mengenai pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menjauhi segala bentuk ajaran yang melampau dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Menurutnya, pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah yang menjadi tunjang pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu terus dipertahankan bagi mengelak elemen yang boleh merosakkan perpaduan dan mengancam keharmonian ummah.

“Saya percaya masalah perpecahan ummah dan sikap melampau segelintir umat Islam akan dapat diatasi jika umat Islam kembali berpegang kepada ajaran Islam seperti yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, Muhyiddin menyampaikan Tokoh Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2015 kepada Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Sebanyak 134 kontinjen membabitkan 15,000 peserta terdiri daripada 68 pasukan jabatan kerajaan, 33 badan berkanun, 13 swasta, 10 badan beruniform, empat sekolah, enam institut pengajian tinggi dan enam kontinjen pertubuhan bukan kerajaan menyertai perarakan Maulidur Rasul sejauh 1.8 kilometer dari hadapan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 7:05 AM