SABU mengendali jentera mesin menanam padi selepas Majlis Perasmian Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SABU mengendali jentera mesin menanam padi selepas Majlis Perasmian Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Puteh: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan 150,000 hektar sawah padi di seluruh negara akan ditanam menggunakan konsep Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan menjelang 2030.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah itu meliputi 25 peratus berbanding keseluruhan keluasan 600,000 hektar di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini, seluas 11,000 hektar padi melaksana program SMART SBB ala Sekinchan, membabitkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Kedah, Selangor dan Terengganu.

"Program SMART SBB ala Sekinchan adalah model baharu yang diperkenalkan Mei tahun lalu. Ia mengaplikasi amalan terbaik penanaman padi di Sekinchan untuk direplikasi ke kawasan lain.

"Menerusi program SMART SBB ala Sekinchan, ia boleh meningkatkan hasil padi sebanyak 70 peratus berbanding kaedah biasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian SMART SBB ala Sekinchan KADA di Bendang Tok Ajam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sekiranya kesemua kawasan menggunakan kaedah penanaman itu, pihaknya yakin bekalan beras negara akan mencukupi, tanpa perlu mengimport dari negara lain.

"Bagaimanapun kita akui untuk 100 peratus melaksanakan SMART SBB ala Sekinchan agak sukar, berikutan beberapa masalah yang perlu dihadapi termasuk pengairan, kewangan, teknologi dan pembajaan.

"Kemudahan seperti sistem pengairan itu perlu dipertingkatkan terlebih dahulu kerana bukan semua kawasan mempunyai kemudahan lengkap," katanya.

Jelasnya, kaedah SMART SBB ala Sekinchan akan turut diperkenalkan di Sabah dan Sarawak dan saya akan ke Sarawak minggu hadapan untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 2:17 PM