Nazdy Harun

Kuala Berang: Obses dengan seni bina rumah tradisional Melayu, seorang warga emas membelanjakan lebih setengah juta ringgit untuk mengubah suai sebuah rumah bot di Tasik Kenyir di sini.

Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, berasal dari Kampung Pauh dekat sini, berkata, dia membeli sebuah rumah bot di Tasik Kenyir dengan harga RM220,000.

Menurutnya, melihat kepada bot yang dibeli itu hanya 'biasa-biasa' mendorongnya membuat pengubahsuaian menjadikan rumah bot itu seolah-olah sebuah rumah tradisional yang terapung di dalam tasik.

Katanya, dia membelanjakan kira-kira RM400,000 lagi untuk mengubah suai rumah bot berkenaan dengan mengadaptasi rumah tradisional Melayu ke atas bot terbabit.

"Saya bersama beberapa orang pekerja sejak April lalu mengembeleng tenaga untuk menyiapkan sebuah seni bina Melayu di atas bot berkenaan.

"Dengan menggunakan 10 metrik tan kayu cengal saya merencanakan apa yang ingin dilakukan dan selepas hampir tujuh bulan ini wajah baharu rumah bot ini," katanya yang lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Tun.

Rumah bot bercirikan rumah tradisional Melayu, milik Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, yang hampir siap diubah suai. FOTO NAZDY HARUN
Rumah bot bercirikan rumah tradisional Melayu, milik Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 64, yang hampir siap diubah suai. FOTO NAZDY HARUN

Menurutnya, ukiran-ukiran pada rumah bot bermotifkan ukiran awam larat, manakala di bahagian hadapan rumah bot bercirikan limau bukuh yang merupakan rumah Terengganu lama.

Katanya, di ruang belakang bercirikan rumah teler iaitu ciri rumah tradisional juga dan dinding dihiasi dengan ukiran dinding janda berhias.

Tuan Ahmad berkata, binaan rumah bot itu menggunakan keseluruhan kayu cengal dengan panjang 30 meter dan lebar lapan meter, manakala ia mempunyai lapan buah bilik.

"Bot saya ini asalnya saya beli daripada seorang individu dan saya mengambil langkah mengubah suai kerana terlalu minat terhadap seni bina tradisional Melayu.

"Selain bot yang dibina berkonsepkan rumah tradisional Melayu, saya juga mempunyai 18 buah rumah bercirikan binaan tradisional yang kini dijadikan inap desa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:53 AM