Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Sejumlah 422 kenderaan warga asing disita dalam Operasi Khas Motosikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sepanjang 1 September hingga semalam.

Timbalan Pengarahnya, Nazili Kadir berkata, kesemua kenderaan itu didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan untuk kegunaan di atas jalan raya dan kebanyakannya dipakai etnik Rohingya.

"Antara kesalahan yang dikesan, pemandu warga asing tiada lesen memandu, kenderaan tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans serta salah guna lesen kenderaan motor.

"Kami memandang serius hal ini kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat, selain faktor keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya pada sidang media selepas operasi itu di Stesen Penguat kuasa Labok, malam tadi.

Seramai 118 pegawai dan anggota penguat kuasa terbabit operasi bersepadu itu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Nazili berkata, tindakan tegas juga boleh diambil ke atas warga tempatan yang didapati meminjamkan atau memberi sewa kenderaan kepada warga asing.

Terdahulu, sebanyak 14,163 kenderaan diperiksa dalam operasi itu, dengan 2,053 kenderaan diambil tindakan dan 5,015 notis saman dikeluarkan.

NAZILI (kanan) bersama anggotanya memeriksa motosikal yang  tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya selepas Operasi Khas Motosikal Negeri Kelantan 2023 di Stesen Penguatkuasa Labok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NAZILI (kanan) bersama anggotanya memeriksa motosikal yang tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya selepas Operasi Khas Motosikal Negeri Kelantan 2023 di Stesen Penguatkuasa Labok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 9:27 AM