Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengguna pakai dua pendekatan advokasi dan nasihat bagi menangani isu kesalahan membabitkan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, sebelum sebarang tindakan berbentuk punitif atau penguatkuasaan undang-undang diambil, pihaknya akan menggunakan kedua-dua pendekatan itu.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, langkah pertama dilakukan JPJ adalah pengeluaran Notis Temu Siasat mengikut Seksyen 114(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Ia dikeluarkan bagi tujuan siasatan dan pengumpulan maklumat untuk advokasi atau nasihat melalui aduan yang diterima JPJ berkaitan kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran.

"Manakala (langkah kedua) melalui pengeluaran Notis Arah Periksa Kenderaan, mengikut Seksyen 61(1) APJ 1987 dan Notis Larangan Penggunaan kenderaan (Notis PG1) mengikut Seksyen 59(1) APJ 1987, dikeluarkan apabila pemilik kenderaan motosikal disyaki melakukan kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai Lawatan ke Stesen Penguatkuasa JPJ Labok dalam Op Penguatkuasa Khas, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, pemilik kenderaan diberikan peluang untuk membaiki atau menukar ekzos yang mematuhi pembuatan dan kegunaan yang sudah ditetapkan di dalam kaedah dalam tempoh tempoh sepuluh 10 hari.

"Selain itu, pemilik kenderaan juga wajib mengemuka atau membawa semula kenderaan motosikal ke mana-mana pejabat JPJ bagi tujuan pemeriksaan sebagai bukti pembaikan terhadap ekzos sudah dibuat dan mematuhi kaedah pembuatan dan kegunaan," katanya.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, strategi penguatkuasaan terhadap kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran yang mengambil pendekatan berbentuk advokasi serta nasihat sudah diguna pakai sekian lama dalam penguatkuasaan berkaitan teknikal kenderaan JPJ.

"Sebarang pengubahsuaian ekzos kenderaan motosikal tanpa kebenaran adalah menjadi kesalahan dan boleh dikompaun tidak lebih RM300 atau jika disabitkan kesalahan di mahkamah, pesalah boleh didenda mengikut Seksyen 119 APJ 1987 dan denda tidak lebih RM2,000 atau boleh dipenjara tidak lebih enam bulan," katanya.

DATUK Zailani Hashim (kanan) menyerahkan Lesen Kenderaan Motor kepada Mahadi Mustapa (tiga kiri) selepas Lawatan ke Stesen Penguatkuasa JPJ Labok dalam Op Penguatkuasa Khas. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
DATUK Zailani Hashim (kanan) menyerahkan Lesen Kenderaan Motor kepada Mahadi Mustapa (tiga kiri) selepas Lawatan ke Stesen Penguatkuasa JPJ Labok dalam Op Penguatkuasa Khas. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Media sebelum ini melaporkan, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dipetik berkata berkata, perkara itu dimaklumkan JPJ agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:05 PM