ANGGOTA penguat kuasa melakukan pemeriksaan dalam operasi bersepadu dan Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. FOTO Ihsan JPJ Pahang.
ANGGOTA penguat kuasa melakukan pemeriksaan dalam operasi bersepadu dan Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan. FOTO Ihsan JPJ Pahang.
Asrol Awang


SEBANYAK 163 saman dikeluarkan terhadap pemandu dan penunggang motosikal dalam operasi bersepadu dan Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Nazili Kadir berkata, operasi empat jam bermula 4 petang itu turut menyita sebuah kereta dan dua motosikal.

“Sebanyak 28 kenderaan diperiksa dalam operasi itu dan 163 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insuran kenderaan,” katanya hari ini.

Operasi itu membabitkan 44 pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang.

Beliau berkata, dalam operasi itu, JIM menahan dua warga Myanmar untuk siasatan lanjut kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Sementara, JPN memeriksa MyKad terhadap 62 individu dan dua daripadanya dikesan tidak membawa dokumen pengenalan diri itu.

“Operasi ini diadakan bagi memastikan pemandu dan penunggang mematuhi peraturan jalan raya manakala warga asing pula memiliki dokumen sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 3:50 PM