Mohd Roji Kawi


Kuching: Pengalaman mengawal Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak yang diadakan ketika musim tengkujuh tahun lalu memberi pengalaman kepada polis kontinjen Sarawak untuk bersedia sepenuhnya jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada bila-bila masa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, seramai 7,063 pegawai dan anggotanya kini sudah diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan kawalan keselamatan sepanjang proses demokrasi itu.

Menurutnya, keanggotaan polis Sarawak itu membabitkan semua jabatan termasuk Briged Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

"Kami (polis Sarawak) tidak menggunakan anggota tambahan dari luar Sarawak pada PRU-15 nanti, sebaliknya memanfaatkan sepenuhnya kekuatan yang sedia ada.

"Kami mengambil iktibar dari Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang diadakan dalam bulan Disember tahun lalu.

"Dengan pengalaman itu, kami cukup bersedia untuk menghadapi PRU-15 jika ia diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

PRN-12 Sarawak diadakan pada 18 Disember tahun lalu dengan hari penamaan calon diadakan pada 6 Disember.

Mengenai persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL), Mohd Azman berkata, selain kekuatan pegawai dan anggota seramai 1,663 orang pihaknya juga sudah memastikan semua aset berkeadaan baik dan sedia untuk melaksanakan tugas menyelamat.

Menurutnya, polis Sarawak memiliki 1,064 aset darat, laut dan udara serta aset sokongan bagi menghadapi MTL.

"Sebanyak 317 aset darat yang kami sediakan iaitu sebuah ambulans, 109 pikap, 35 van, 119 kereta, 52 lori dan sebuah bas.

"Aset laut atau sungai pula sebanyak 647 iaitu 67 bot, 64 enjin bot, sembilan treler, tiga jet ski serta 504 jaket keselamatan, aset udara pula sebanyak enam iaitu tiga pesawat dan tiga dron manakala aset sokongan pula sebanyak 94 iaitu 54 set generator dan 40 khemah," katanya.

Mohd Azman berkata, kesiapsagaan itu perlu susulan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan fasa peralihan monsun bermula pertengahan September hingga November dan MTL dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.

MOHD Azman selepas sidang media di Pusat Media IPK Sarawak, hari ini. FOTO Nadim Bokhari.
MOHD Azman selepas sidang media di Pusat Media IPK Sarawak, hari ini. FOTO Nadim Bokhari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 4:42 PM