ABANG Johari merasmikan BioSFE 2023. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari merasmikan BioSFE 2023. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah menyediakan calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 4 November depan.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, mereka sentiasa bersedia menghadapi apa sahaja situasi termasuk PRK.

"Ya sememangnya kami bersedia. Hari penamaan calon nanti, kami akan hantar calon. Siapa dia? Nanti orang Bintulu aturkan," katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Bioteknologi, Pertanian Pintar dan Keusahawanan Untuk Keselamatan Makanan (BioSFE 2023) UiTM dan National Chung Cheng University Taiwan di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 Nov depan.

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom pada sidang media selepas mesyuarat di Putrajaya, hari ini berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 21 Oktober dan 31 Oktober.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang DUN Jepak, Datuk Talib Zulpilip, 72, akibat komplikasi buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis pada 15 September lalu.

Allahyarham Talib menyandang kawasan yang mempunyai seramai 22,084 pengundi berdaftaritu selama enam penggal sejak 1996.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 3:49 PM