KEADAAN banjir yang semakin buruk di sekitar pekan Membakut. FOTO Ihsan APM
KEADAAN banjir yang semakin buruk di sekitar pekan Membakut. FOTO Ihsan APM
Poliana Ronnie Sidom


JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Bencana Alam Daerah Beaufort di Kampung Selagon meningkat kepada 449 orang membabitkan 160 keluarga pagi hari ini, berbanding 443 orang petang semalam.

Setakat pagi ini juga, hanya empat daripada sembilan kampung yang terjejas banjir di Beaufort sejak Selasa lalu sudah pulih iaitu Kampung Bakalau, Bakalau Simpang Empat, Binunuk dan Balibata.

Di Membakut pula, banjir di 14 daripada 28 lokasi sudah pulih sepenuhnya membabitkan Kampung Lumantak, Sinoko, Bambangan, Poring, Pusak, Takapan, Lampijas, Bawan, Limpayau, Bandau, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Membakut, Klinik Kesihatan Kampung Sinoko, Pekan Lama Membakut dan Pejabat Daerah Kecil Membakut.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan peningkatan jumlah mangsa banjir susulan bacaan paras air di Sungai Padas dan Sungai Membakut yang tidak banyak berubah.

Berdasarkan paras bacaan air di Sungai Membakut daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Beaufort, bacaan setakat 9 pagi tadi adalah 6.34 meter iaitu melebihi paras amaran.

Keadaan cuaca di Beaufort dan Membakut juga dilaporkan mendung.

Bagi jalan raya pula, daripada 26 jalan raya terputus akibat banjir, hanya 13 jalan yang boleh dilalui semua jenis kenderaan, manakala selebihnya tidak boleh dilalui atau hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Jalan yang hanya boleh dilalui kenderaan berat di Beaufort adalah Jalan Kampung Suasa, Kangsa, Jabang, Kukup, manakala Jalan Kampung Berumbai tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Di Membakut, jalan yang masih terjejas dan hanya boleh dilalui kenderaan berat adalah Kampung Baitam, Baitam Laut, Baitam Ulu, Kayai, Mendagin, Brunei, Dungau, Sungai Damit dan Jalan Skim Kampung Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 11:18 AM