Sheik Azahar menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pesara polis, Mahasan (kiri) dan Shamsuri (kanan) di Majlis Himpunan Pesara Pasukan Polis Hutan (PPH), PGA, VAT69 dan Senoi Praaq di Batalion 8 PGA (PGA8) di Pengkalan Chepa di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali.
Sheik Azahar menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pesara polis, Mahasan (kiri) dan Shamsuri (kanan) di Majlis Himpunan Pesara Pasukan Polis Hutan (PPH), PGA, VAT69 dan Senoi Praaq di Batalion 8 PGA (PGA8) di Pengkalan Chepa di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pesara polis yang menghidap penyakit saraf dan kencing manis bersyukur apabila dipilih sebagai penerima kerusi roda sekali gus dapat meringankan bebannya untuk melakukan urusan harian.

Mahasan Yasin, 63, dari Pasir Tumboh, di sini, berkata dia menghidap penyakit itu sejak lebih tiga tahun lalu.

"Alhamdulillah, walaupun saya sudah bersara sejak enam tahun lalu, pelbagai bantuan diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk kerusi roda ini.

"Bantuan ini dapat meringankan beban dan saya rasa terharu kerana jasa saya dalam pasukan sebelum ini dihargai," katanya yang bersara dengan jawatan terakhir sebagai Koperal di PGA8.

Mahasan berkata demikian ketika ditemui di Majlis Himpunan Pesara Pasukan Polis Hutan (PPH), Pasukan Gerakan Am (PGA), VAT69 dan Senoi Praaq di Batalion 8 PGA (PGA8) di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Sheik Azahar Sheik Omar yang turut menyampaikan bantuan kerusi roda kepada empat pesara polis.

Pesara lain, Shamsuri Mohamad, 66, berkata pergerakannya terhad kerana mengalami sakit lutut dan tidak mampu berjalan sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, bantuan kerusi roda ini akan memudahkannya melakukan urusan harian termasuk mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Saya perlu mendapatkan rawatan di HUSM dengan bantuan ahli keluarga. Namun, dengan adanya kerusi roda ini ia memberi kemudahan untuk saya," katanya yang tinggal di Bachok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 4:57 PM