GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini menjelaskan program Jualan Rahmah Beras yang dianjurkan menggunakan beras import dan bukannya beras tempatan.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menanggung subsidi beras itu di bawah subsidi Rahmah yang berjumlah kira-kira RM152 juta termasuk kos logistik.

"Ia disyorkan menggunakan beras import dengan harga borong. Ini juga membantu kerajaan supaya dapat memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah mendapat beras dengan harga RM14 untuk lima kilogram dan tidak menggunakan beras tempatan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, Azman turut menafikan dakwaan sesetengah pihak berlakunya kegiatan menyorok beras.

"Tidak ada. Siapa kata sorok? Anda beritahu saya, saya pergi sekarang juga ke kilang atau pemborong yang dimaksudkan itu.

"Jangan cakap macam bukan anak jantan. Cakap biar ada bukti," tegasnya.

Azman berkata, tuduhan berlakunya kegiatan menyorok beras itu bertujuan merosakkan keadaan dan beliau juga memberi jaminan bekalan beras di negara ini mencukupi.

Menurutnya, stok semasa beras di negara ini berjumlah 900,000 metrik tan, manakala stok dagangan pula berjumlah 650,000 metrik tan.

Bagi stok simpanan katanya, ia berjumlah 250,000 metrik tan dan tidak pernah diusik.

"Kita tak pernah usik pun stok simpanan walaupun ada program Jualan Rahmah Beras, kita masih menggunakan stok dagangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 3:46 PM