GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Program Jualan Rahmah Beras yang menawarkan penjualan beras import pada harga lebih murah dilihat mampu menyediakan alternatif kepada pengguna bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras tempatan.

Penghulu Kampung Limbat, Pasir Tumboh di sini, Bukhari Daud, 67, berkata langkah menyenaraikan beras import dalam Jualan Rahmah memberi peluang kepada rakyat menikmati beras import pada harga yang lebih murah.

"Rakyat Kelantan memang agak sinonim dengan penggunaan beras import dari Thailand. Penjualan beras import pada harga yang lebih murah ini sedikit sebanyak akan memberi kelegaan kepada rakyat sekali gus menunjukkan kerajaan cuba mencari jalan menangani permasalahan rakyat.

"Kita harap program ini boleh diteruskan dalam tempoh yang lebih lama hingga bekalan beras tempatan dapat dipulihkan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Seorang pengguna Norhazirah Ismail, 35, berkata bekalan beras tempatan yang agak sukar diperoleh ketika ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada rakyat.

"Sekiranya beras tempatan gagal didapati pengguna terpaksa juga membeli beras import walaupun harganya agak mahal demi memenuhi keperluan keluarga.

"Dengan tawaran harga beras import yang lebih murah melalui Jualan Rahmah ini akan memberi sedikit kelegaan kepada golongan B40 seperti kami," katanya yang menetap di Kampung Gong Dermin di sini.

Katanya, beliau tidak pernah melepaskan peluang mengunjungi semua Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini yang menawarkan banyak potongan harga bagi barang keperluan asas.

Norhazirah memberitahu Jualan Rahmah Beras yang bakal dilaksanakan bermula hari ini juga menunjukkan kerajaan peka dengan keadaan semasa rakyat.

"Cuma saya harap selain program ini, kerajaan perlu segera mencari jalan tangani masalah kekurangan beras tempatan kerana rakyat berdepan pelbagai peningkatan kos sara hidup yang lain," katanya.

Pada Isnin, Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat memaklumkan akan melancarkan Jualan Rahmah Beras bermula hari ini.

Menurutnya, program itu akan membolehkan rakyat membeli beras pada harga diskaun berikutan akses kepada beras tempatan terganggu ketika ini.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Fuziah turut memaklumkan pihaknya menyasarkan pelaksanaan jualan berkenaan diperluaskan di semua kawasan Parlimen, di samping menggalakkan Ahli Parlimen dan pemimpin setempat turut mengambil bahagian menguruskan serta merancang melaksanakan program seumpama itu untuk pengundi di kawasannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:59 PM