SHAKIB terpaksa mengehadkan jualan gula kasar sepeket setiap pembeli. FOTO Mohd Amin Jalil.
SHAKIB terpaksa mengehadkan jualan gula kasar sepeket setiap pembeli. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengguna dan peniaga kecil di daerah ini mendakwa bekalan gula bersubsidi berkurangan di pasaran sejak awal bulan ini.

Peniaga kuih tradisional dari Senawang, Nur Amira Amat, 56, berkata, kesukaran mendapatkan bekalan gula kasar bersubsidi pada harga RM2.85 sekilogram (kg) yang menjejaskan urusan perniagaannya.

"Sejak dua minggu ini, banyak premis dan kedai runcit saya pergi untuk mendapatkan gula kasar bagi keperluan membuat kuih yang ditempah orang tapi tiada di pasaran.

"Hanya sebilangan kecil premis yang menjualnya, namun pembeli dikenakan syarat iaitu hanya boleh membeli satu paket gula sahaja dan juga perlu membeli barangan lain.

"Lebih memburukkan keadaan, terdapat premis hanya menjual gula premium yang berharga RM4.60kg," katanya di sini, hari ini.

Mohamad Salleh Yahya, 62, pula berkata, kesukaran memperoleh gula bersubsidi sememangnya menjejaskan perniagaan makanan dan air balang diusahakannya di beberapa pasar malam.

"Kami seolah-olah dipaksa menggunakan gula premium ini yang tinggi harganya, malah gula ini boleh didapati dengan banyak dan tiada had pembelian.

"Saya tidak faham punca keadaan ini berlaku," katanya.

Sementara itu, peniaga runcit di Taman Tuanku Jaafar Senawang, Shakib Ahmad, 40, berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan pembelian gula bersubsidi kepada pengguna kerana menerima bekalan terhad.

Menurutnya, pihaknya bukan sahaja berhadapan masalah bekalan gula bersubsidi, tetapi juga barangan lain termasuk minyak masak peket 1 kg dan minyak masak botol bersaiz kecil 1kg, 2kg dan 3kg serta beras super tempatan.

"Pembekal sendiri tidak dapat membekalkan barangan berkenaan dan perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna tetapi juga kepada kami," katanya.

Sementara itu, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ketika dihubungi memaklumkan tiada isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan.

"Melalui pemeriksaan harian pegawai tiada dapatan harga barangan yang naik dan aduan juga tidak diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 7:21 PM