NIZAL (kiri) selaku pengacara.
NIZAL (kiri) selaku pengacara.
Syanty Octavia Amry


RTM berkongsi cara urus tadbir zakat yang dikelolakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan kepelbagaian program agihan (melalui ASNAF diiktiraf) yang dilaksanakan menerusi program terbaru bertajuk Jurnal Zakat Perak.

Program 13 episod itu mula bersiaran di TV1 setiap Ahad, jam 6.30 petang bermula 17 Disember ini.

Program berkonsep majalah itu memaparkan bentuk bantuan, sokongan dan pengisian yang disalurkan MAIPk kepada penerima terpilih.

Pendedahan dilakukan secara langsung berkaitan pendekatan cara urus tadbir zakat dikelolakan majlis agama.

Bantuan dan sokongan diberikan juga diperincikan melalui sesi wawancara dengan individu berkaitan sama ada pihak penerima mahupun pemberi bantuan yang berjaya mencapai objektif.

Menampilkan pengacara Nizal Muhammad, ia turut menyingkap bantuan pelajaran ke luar negara oleh MAIPk.

Bantuan zakat yang dimaksudkan ialah tawaran Dermasiswa untuk pelajar berkelayakan dari Perak khusus dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beberapa pelajar ditemu ramah untuk berkongsi kisah mereka berkaitan bantuan Dermasiswa yang diperoleh.

Selain itu wawancara bersama Duta Besar Malaysia di Mesir dan Pegawai Atase Pendidikan Perak dipaparkan apabila mereka berkongsi maklumat mengenai peranan MAIPk dalam menjaga kebajikan pelajar serta program yang dijalankan.

Setiap episod akan menyiarkan secara terperinci cara pengurusan zakat dan pemberiannya kepada mereka yang berhak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 12:05 AM