Pelajar Cemerlang Jabatan (Jabatan Perdagangan) Politeknik Kota Bharu (PKB), Nor Syazwani Mohd Afandi, 27 (tengah) diapit ibubapanya, Mohd Afandi Che Ismail 66 (kiri) dan Hasmah Hassan, 58  selepas menerima sijil diploma dan sijil Anugerah Cemerlang di Hari Konvokesyen PKB ke 36 di Kok Lanas. FOTO Nor Amalina Alias
Pelajar Cemerlang Jabatan (Jabatan Perdagangan) Politeknik Kota Bharu (PKB), Nor Syazwani Mohd Afandi, 27 (tengah) diapit ibubapanya, Mohd Afandi Che Ismail 66 (kiri) dan Hasmah Hassan, 58 selepas menerima sijil diploma dan sijil Anugerah Cemerlang di Hari Konvokesyen PKB ke 36 di Kok Lanas. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Rezeki bergolek buat Nor Syazwani Mohd Afandi, 27, apabila menerima tawaran pekerjaan selepas menamatkan latihan industri (LI) di sebuah syarikat bahan binaan pada awal tahun ini.

Bekas pelajar Politeknik Kota Bharu (PKB) itu berkata, dia menjalani LI selama 14 minggu yang berakhir pada 31 Disember 2022 sebelum ditawarkan bekerja pada keesokkan harinya.

"Syarikat kata dia lihat potensi saya yang bertugas di bahagian pemasaran, selain ketika praktikal saya ada membantu daripada segi pemasaran terutamanya bagi produk yang baru dibawa masuk.

"Saya dapatkan maklum balas pelanggan, buat video kandungan untuk laman sosial seperti TikTok, jadi syarikat berminat tawarkan pekerjaan sebagai Eksekutif Pemasaran kepada saya," katanya.

Nor Syazwani berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Konvokesyen PKB ke-36 di Kok Lanas, di sini, hari ini.

Dia turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Jabatan (Jabatan Perdagangan) pada sidang pertama majlis konvokesyen berkenaan yang dirasmikan Pengarah Urusan Teguh Kualiti Sdn Bhd, Datuk Sri Zainoddin Azahari.

Hadir sama, Pengarah PKB Mohd Fikri Ismail.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia mengikuti Diploma Pemasaran di PKB bagi sesi Disember 2019 hingga Disember 2022 dengan setiap semester mendapat anugerah dekan dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.86.

Menurutnya, pada masa sama dia juga gemar menggunakan Internet sebagai bahan rujukan bagi melihat kaedah pemasaran terbaharu.

"Selain bacaan kuliah, saya suka 'godek' ilmu luar di Internet berkaitan pemasaran, kaji realiti bidang ini dan akan gunakan contoh-contoh video yang ditonton untuk dikaitkan dengan bidang pengajian yang diambil," katanya.

Anak bekas pesara tentera, Mohd Afandi Che Ismail, 66, dan Hasmah Hassan, 58, itu antara 1,327 graduan yang menerima diploma masing-masing sempena konvensyen yang bermula hari ini sehingga 14 September.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Nur Ayuni Mohd Sabri, 22, berkata dia tidak pernah ponteng kelas selama enam semester Diploma Akauntansi menjadi rahsia mendapat CGPA 3.88 dan anugerah dekan setiap semester.

Menurutnya, fokus sepenuhnya dalam kelas menjadi kaedah terbaik cara dia menguasai pelajaran untuk mencapai cita-cita sebagai auditor.

Anak sulung tukang besi, Mohd Sabri Daud, 49, dan Rozinah Ramli, 45, kini menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang sama (akauntansi) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang.

"Setiap kali peperiksaan, saya suka buat nota sendiri dan saya hafal untuk lulus ujian, saya memang suka ilmu kira-kira dan menjadikan bapa saudara, Mohd Zulkifli, 36, seorang akauntan di Telekom Malaysia Berhad sebagai idola," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:50 PM