Datuk Seri Bung Moktar Radin. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Bung Moktar Radin. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: UMNO Sabah menetapkan sasaran untuk kembali memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sejajar dengan itu, beliau kini memberi tumpuan penuh terhadap usaha mempersiapkan parti bagi menghadapi PRN.

Katanya, perkara itu menjadi fokus utamanya selepas kes mahkamah berhubung dakwaan rasuah yang dihadapinya sejak kira-kira lima tahun lalu selesai.

"Persiapan rapi bermula dengan usaha mengukuhkan parti di semua peringkat memandangkan PRN Sabah ke-17 semakin hampir.

"Saya kini lebih memfokuskan parti khususnya di Sabah kerana masa main singkat untuk kita memperkukuhkan parti," katanya dalam satu kenyataan, sempena Majlis Kesyukuran UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkta demikian ketika mengulas mengenai fokusnya selepas beliau dan isteri, Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan daripada kes rasuah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Katanya, beliau akan menyusun beberapa program turun padang untuk berjumpa dengan akar umbi dan pimpinan parti di semua peringkat, disusuli langkah untuk menstruktur parti.

"Ini bagi memastikan kita benar-benar bersedia menghadapi PRN khususnya untuk memastikan UMNO dapat kembali memerintah Sabah supaya kita dapat terus membangunkan negeri ini.

"Sabah sudah terlalu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri lain, sedangkan negeri ini berpotensi dan mampu dibangunkan," katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyifatkan tiga kemudahan asas iaitu jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik perlu diselesaikan dengan segera oleh mana-mana parti yang nemerintah Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 5:50 PM