BUNG Moktar Radin. FOTO arkib NSTP
BUNG Moktar Radin. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: UMNO mesti menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran bagi membolehkan parti berusia 75 tahun itu kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu dilakukan UMNO Sabah yang menjangkau usia 31 tahun pada hari ini bagi mengukuhkan semula kedudukannya.

"UMNO tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah tetapi mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang lahir 75 tahun lalu dan 31 tahun bertapak di Sabah, ia perlu tetap relevan dan menjadi parti pilihan rakyat.

"Kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran kerana sehebat manapun kita, jika tidak mahu melakukan perubahan, kedudukan parti ini akan tergugat," katanya dalam perutusan sempena ulang tahun ke-31 UMNO Sabah, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, dalam konteks di Sabah, banyak liku dan cabaran dilalui UMNO sebaik sahaja melebarkan sayapnya ke negeri ini pada 1991 dan saat paling menyedihkan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, UMNO Sabah diuji dengan tindakan beberapa pemimpinnya termasuk di peringkat bahagian yang meletakkan jawatan dan menyertai parti lain menyebabkan ahli UMNO di negeri ini berada dalam keadaan tidak menentu.

"Di sebalik langkah mereka yang meninggalkan perjuangan UMNO, alhamdulillah, kita masih memiliki pemimpin dan ahli yang berprinsip dan setia kepada perjuangan parti," katanya.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, bagaimanapun mengakui perubahan zaman membawa bentuk cabaran baharu seperti kepantasan penyebaran fitnah melalui media sosial dan Internet.

"Namun kesedaran dan kefahaman rakyat kini lebih jelas bahawa segala propaganda dan fitnah yang dilemparkan terutamanya di media sosial sebenarnya hanya propaganda pembangkang.

"Keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN kembali kukuh setelah kita melihat pencapaian parti dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), dan terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan selepas ini kita optimis UMNO dan akan mencipta kejayaan baharu pada PRN Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 10:26 AM