MOTOSIKAL dibonceng mangsa bersama bapanya. POLIS Ihsan Polis
MOTOSIKAL dibonceng mangsa bersama bapanya. POLIS Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kanak-kanak lelaki yang baru pulang dari tadika maut, selepas motosikal yang ditunggang bapanya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 16 Jalan Sua Betong- Air Kuning di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Muhammad Shaheizy Iman Muhammad Shazrein disahkan meninggal dunia di Zon Merah Hospital Port Dickson.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku ketika bapanya yang juga juruteknik dalam perjalanan pulang selepas mengambil anaknya dari sebuah Pasti sebelum kemalangan dengan kereta dipandu lelaki warga Singapura, berusia 33 tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.

"Sebaik tiba di lokasi, kereta berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, akibatnya penunggang patah bahu dan kaki kanan, manakala pemboncengnya (kanak-kanak) itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Pemandu kereta berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Saringan awal ujian air kencing terhadap pemandu itu adalah negatif dan ujian pernafasan menunjukkan tiada kandungan alkohol dalam darah.

"Lelaki itu direman selama tiga hari bermula hari ini dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Katanya, polis meminta saksi kejadian tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 12:16 AM