KESAN kemusnahan gajah liar di kawasan kebun penduduk kampung Orang Asli di Pos Belatim.
KESAN kemusnahan gajah liar di kawasan kebun penduduk kampung Orang Asli di Pos Belatim.
Oleh Paya Linda Yahya


Gua Musang: Penduduk Orang Asli di Kampung Kajak dan Kampung Cacuh di Pos Belatim, di sini, mendakwa hidup dalam resah sejak kemunculan dua ekor gajah yang berkeliaran dan merosakkan tanaman mereka sejak minggu lalu.

Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar itu mendakwa gajah liar terbabit memusnahkan tanaman pisang, ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam penduduk.

Penduduk Kampung Cacuh, Sari Uda, 40, berkata serangan gajah terbabit di kebun mereka secara tidak langsung menyebabkan sumber makanan terjejas selain penduduk juga hidup dalam ketakutan.

"Kami bergantung kepada sumber pertanian untuk hidup dan ubi adalah makanan asas, namun serangan gajah liar ini sangat memberi kesan kerana ia merosakkan sumber makanan kami.

"Malah kami juga hidup dalam ketakutan sekiranya terserempak dengan gajah terbabit yang berkeliaran di antara dua kampung yang jaraknya hanya satu kilometer," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurut Sari, penduduk percaya terdapat dua ekor gajah liar yang berkeliaran kerana menjumpai kesan tapak kaki yang berbeza saiz.

"Kami dengar bunyi bising dan salakan anjing pada waktu malam, tetapi tidak berani untuk keluar melihatnya. Keesokkan paginya kami lihat tanaman sudah musnah.

"Memang rasa sedih sebab itu sahaja sumber makanan kami yang tinggal jauh di pedalaman," katanya.

Penduduk Kampung Kajak, Rahimi Dolah, 45, pula berkata, dalam kejadian terbaru kira-kira tiga hari lalu, penduduk mendengar dengan jelas bunyi gajah liar terbabit yang berkeliaran di kawasan kebun sehingga menyebabkan mereka ketakutan.

"Kami dengar bunyi gajah sedang berkeliaran di kawasan kebun kerana jarak rumah dan kebun adalah sangat dekat.

"Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera dengan masalah yang dihadapi penduduk di sini. Kami bukan hanya hidup dalam ketakutan, tetapi sumber makanan juga musnah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 7:01 AM