SHAH ALAM 07 SEPTEMBER 2023. Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah (dua dari kanan) melihat kereta solar baharu yang diberi nama Eco Photon Keris Generasi ke-5 di Dewan Kolej Seroja, UiTM Shah Alam. STR / FAIZ ANUAR
SHAH ALAM 07 SEPTEMBER 2023. Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah (dua dari kanan) melihat kereta solar baharu yang diberi nama Eco Photon Keris Generasi ke-5 di Dewan Kolej Seroja, UiTM Shah Alam. STR / FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seramai 24 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal mewakili Malaysia ke pertandingan kereta solar dunia yang bakal berlangsung di Adelaide, Australia.

Kumpulan penuntut diiringi Ketua Penasihat Pasukan, Profesor Dr Azli And Razak itu akan membawa Kereta Solar Eco Photon Keris Generasi ke-5 (KerisGen5) yang dilancarkan tadi.

Azli yang juga Ketua Pengajian Kejuruteraan Mekanikal berkata, pertandingan Bridgestone World Solar Challenge 2023 itu membabitkan perlumbaan dari Darwin ke Adelaide sejauh 3,000 kilometer (km).

"Kami akan bertolak pada 1 Oktober, perlumbaan bermula pada 22 Oktober. Sebelum perlumbaan, KerisGen5 perlu menjalani proses pemeriksaan untuk memastikan selamat dalam apa juga keadaan terutamanya ketika perlumbaan.

"Kami ke sana lebih awal untuk uji pandu kereta solar kita disebabkan cuaca di Australia dengan Malaysia berbeza. Kami perlu memastikan persediaan yang harus ditambahbaik.

"Sasaran kita untuk berada dalam senarai 10 pasukan terbaik juga di Asia Tenggara. Kami bukan bersaing dengan pasukan kecil sebaliknya pasukan besar seperti Poland, Jepun," katanya selepas Majlis Pelancaran KerisGen5 oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Profesor Dr Mohamad Hariri Abdullah di UiTM Shah Alam, di sini.

Mengulas mengenai KerisGen5 itu, Azli berkata, pembikinan kereta solar itu adalah hasil kerja 30 penuntut yang juga ahli Persatuan Eco Photon, Persatuan Pelajar Eco Photon Kolej Pengajian Kejuruteraan.

"Untuk kali ini, ia adalah generasi kelima yang kita cipta, salah satu penambahbaikan adalah perubahan bentuk aerodinamik terkini, kali ini kelajuan kereta solar kita lebih pantas.

"Jika dahulu kita boleh mencapai 100 km per jam, kali ini kami berharap boleh melakukan dengan lebih baik.

"Kereta solar ini dibina dengan kos kurang RM1 juta dan dihasilkan oleh penuntut UiTM selain sokongan pensyarah serta industri di negara kita," katanya.

Sementara itu Mohamad Hariri berkata, pihak UiTM berbangga kerana menjadi satu-satunya universiti yang mewakili Malaysia ke pertandingan kereta solar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 5:04 PM