DR Abu Bakar (dua dari kiri) beramah mesra dengan pemenang Juara Keseluruhan SCITECH2017.
DR Abu Bakar (dua dari kiri) beramah mesra dengan pemenang Juara Keseluruhan SCITECH2017.

Shah Alam: Berkorban masa dan wang saku sendiri bagi menyertai pertandingan ‘Science Technology Education Festival’ (SCITECH2017) akhirnya berhasil buat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kem Terendak, Melaka apabila muncul juara keseluruhan dalam pertandingan itu, kelmarin.

SCITECH2017 anjuran Jabatan Sains, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) membabitkan penyertaan 25 sekolah menengah dari seluruh negara.

Ketua kumpulan MRSM Kem Terendak, Mohamad Amirul Isyraf Mohd Ikhram, 16, berkata, mereka mengharapkan kemenangan selepas memberi perhatian sepenuh masa termasuk menggunakan wang saku sendiri melakukan persediaan sebelum pertandingan.

“Kami mengambil masa dua minggu berlatih bagi semua kategori dipertandingkan antaranya pertandingan roket air, kapal terbang kertas, kereta dan bot solar, drama sains serta pameran, pertandingan reka cipta dan inovasi.

“Walaupun kami dari sekolah sains, namun latihan serta penyelidikan perlu dilakukan bagi mengaplikasikan konsep serta elemen sains dalam kategori yang dipertandingkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup di UiTM, di sini.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Hadir sama, Ketua Penyelaras Science To Action (S2A) UiTM Profesor Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Dengan kemenangan itu, MRSM Kem Terendak membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:35 AM