MMU Grune Welt gembira diumumkan pemenang.
MMU Grune Welt gembira diumumkan pemenang.
Fazurawati Che Lah


UNIVERSITI Multimedia (MMU) kampus Melaka memenangi anugerah Circular Economy Award sempena Shell Eco Marathon Asia 2019 yang diadakan di Sepang International Circuit, baru-baru ini.

Kumpulan MMU Grune Welt menerusi kategori kereta prototaip mencatatkan kelajuan sepantas 278 km/kWh.

Pengurus Kumpulan, Athmas Thum Jian Hua, 23, berkata, kemenangan itu sekali gus menebus kekalahan kolej berkenaan pada tahun lalu apabila kereta ciptaan mereka berdepan pelbagai masalah teknikal.

“Sangat berbaloi kerana prestasi kali ini cukup baik apabila kereta ciptaan kami boleh pergi jauh dalam tempoh satu jam berbanding pada tahun lalu.

“Kami cuba menghasilkan rekaan yang lebih ringan menggunakan gentian karbon pada hampir keseluruhan badan dan peralatan kereta itu,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan kumpulan MMU Grune Welt itu membawa pulang wang tunai $AS3,000, piala dan sijil penyertaan.

Seramai 24 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan dan Teknologi MMU terbabit dengan pertandingan itu.

Pelbagai cabaran dilalui kumpulan itu antaranya kekangan kewangan untuk menghasilkan kereta berkenaan sejak enam bulan lalu.

“Berbekalkan kos tidak melebihi RM10,000 kami cuba buat terbaik, kami bersyukur kerana mempunyai pensyarah yang pakar dalam bidang bahan komposit.

“Menerusi bantuan pensyarah, kami berjaya meminimumkan kos dan penggunaan bahan komposit dengan harga yang sangat minimum iaitu bawah RM10,000,” katanya.

Jelasnya, kumpulannya turut berdepan dengan kekangan masa apabila kebanyakan pelajar yang terbabit menduduki peperiksaan dan perlu menjalani latihan industri.

“Sebahagian kami sedang menduduki latihan industri termasuk saya, kami semua menangguhkan latihan praktikal sementara waktu bagi memberi laluan untuk pertandingan ini.

“Nasib baik majikan dapat bertolak ansur dan memberi sokongan kepada kami dalam acara terbesar ini,” katanya yang juga pelajar tahun akhir.

Shell Eco-marathon Asia kembali diadakan di Kuala Lumpur selepas menjadi tuan rumah pada 2010.

Pada pertandingan kali ini, lima universiti dari Malaysia menyertai acara itu iaitu MMU, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Monash University, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR)

Lebih 100 pelajar dari 21 negara Asia Pasifik dan Asia Barat berentap pada pertandingan itu yang terbahagi kepada dua kategori iaitu prototaip dan konsep urban.

Sementara itu, Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo, berkata pertandingan Shell Eco Marathon Asia menjadi platform utama untuk melahirkan tenaga muda yang mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan tenaga.

“Shell Malaysia berbangga untuk bersama pelajar dan universiti tempatan dalam menampilkan idea-idea dan kebolehan rakyat Malaysia dalam pertandingan antarabangsa seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:58 AM