TERTUDUH dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Sultan Selangor serta gagal memberikan kata laluan Facebook miliknya. FOTO Asyraf Hamzah
TERTUDUH dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Sultan Selangor serta gagal memberikan kata laluan Facebook miliknya. FOTO Asyraf Hamzah
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penganggur dikenali sebagai Imam Mustaqim menarik perhatian ramai apabila membaca al-Quran sebelum Hakim Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 terhadapnya atas dua pertuduhan termasuk membuat kenyataan bersifat jelik terhadap Sultan Selangor.

Hakim, N Priscilla Hemamalini memutuskan hukuman itu selepas Imam Mustaqim atau nama sebenarnya, Mohamad Azlan Ibrahim, 47, mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara berkuatkuasa hari ini dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azlan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap sultan melalui Facebook dengan menggunakan nama profil 'Iman Mustaqim' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 28 Ogos lalu.

Hantaran itu dilihat di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, 11.37 pagi, 29 Ogos dan oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.

Tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan, selain boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mohamad Azlan juga didakwa gagal memberi kata laluan kepada laman profil aplikasi Facebook 'Iman Mustaqim' yang diminta Inspektor Shahrir Mohamad di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, jam 11.25 pagi, 31 Ogos lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 249 dan 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mohamad Azlan yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman rendah atas alasan tidak bekerja dan ibu uzur di kampung.

"Saya juga perlu bawa bapa saudara yang buta ke hospital untuk ambil ubat," katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan denda tinggi.

"Alasan kesalahan dilakukan adalah serius kerana memuat naik hantaran yang bersifat jelik, menyakitkan hati orang dan menghina Sultan Selangor," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan satu pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Iman Mustaqim' yang membuat hantaran berbaur fitnah apabila menuduh Sultan Selangor tidak menjaga agama Islam.

Ia mendapat pelbagai reaksi dan kecaman oleh pengguna media sosial yang menyifatkan tindakannya itu sebagai biadab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 1:06 PM