FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


PENGANGGUR mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan membuat penghantaran jelik terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tertuduh, Mohammad Shahrizal Md Shah, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memuat naik hantaran di Facebook menggunakan nama profil Riz Mhmd bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 8 malam, 28 April lalu.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, jam 12.45 tengah hari pada 30 April lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya serta didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan selanjutnya selepas pensabitan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh merayu hukuman ringan diberikan kerana menyesali perbuatannya dan memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan selain menjaga ibu bapa yang berusia lebih 60 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh diberi jamin RM3,000 serta dilarang membuat sebarang hantaran di media sosial berkaitan kes sementara menunggu keputusan pada 14 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 3:28 PM