Nur Lela Zulkipli


LELAKI mualaf, Mohamad Yazid Kong Abdullah dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam dengan memuat naik kenyataan jelik di media sosial pada 24 Februari lalu.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, mengekalkan pengakuan kepada bersalah sejak tarikh dia didakwa pada 8 Mac lalu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap 5 Mac lalu dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya sebelum hukuman dijatuhkan, Hasbullah berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius kerana menghina agama Islam sebagai agama Persekutuan sekali gus mencabar undang-undang tertinggi dalam negara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui Facebook dengan profil nama ‘Yazid Kong’, pada 8.21 malam 24 Februari lalu.

Kenyataan menjelikkan itu seterusnya dibaca oleh pengguna Facebook lain, Mohd Syafiq di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, pada 12 tengahari, 1 Mac lalu.

Hantaran itu kemudiannya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, Kuala Lumpur, 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan amat serius sehingga mampu mencetuskan keadaan huru hara dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

“Perbuatan tertuduh menghina agama dan Nabi bukan perkara yang boleh dipandang remeh, lebih-lebih lagi kesalahan itu dilakukan ketika rakyat Malaysia sedang berdepan dengan sindrom penghinaan terhadap Rasulullah dan agama Islam.

“Tertuduh juga dikhuatiri untuk mengulangi kesalahan sama sekiranya hukuman ringan dikenakan berdasarkan terdapat beberapa hantaran lama yang pernah dibuat sebelum ini.

“Jadi, dengan hukuman penjara dan denda yang berat, ia boleh menjadi pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga kepada orang awam lain supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh turut merayu hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal dalam keluarga.

“Anak guam saya perlu menanggung perbelanjaan dua anak yang masih kecil masing-masing berusia dua dan tujuh tahun selain isteri yang tidak bekerja. “Anak guam saya juga meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam atas kesalahannya itu,” katanya.

Tertuduh yang mempunyai lima orang anak itu turut memohon ditempatkan di penjara yang membolehkan dia mempelajari ilmu agama Islam dengan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 1:26 PM