Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencuba rasa masakan pelbagai etnik yang dipamerkan sewaktu berangkat tiba untuk melancarkan Kembara Kenali Borneo di Dewan Masyarakat malam tadi. FOTO BERNAMA
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencuba rasa masakan pelbagai etnik yang dipamerkan sewaktu berangkat tiba untuk melancarkan Kembara Kenali Borneo di Dewan Masyarakat malam tadi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tawau: Hari ini suasana di bandar Tawau berbeza daripada kebiasaan.

Buat julung kali, masyarakat setempat menyaksikan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau di sini.

Al-Sultan Abdullah, yang memandu sendiri pacuan empat roda, mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 8.30 pagi.

Turut berangkat mengikuti program kembara sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Bagaikan pesta, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan menarik minat masyarakat setempat keluar beramai-ramai menunggu dan ingin melihat lebih dekat serta merakamkan detik bersejarah bersama pasangan diraja dan rombongan.

Hujan yang turun tidak menghalang masyarakat setempat berkumpul dan berada di sepanjang jalan raya yang menjadi laluan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan Kembara Kenali Borneo sejak awal pagi.

Kumpulan selawat, persatuan kompang dan pelatih jururawat dari kolej jururawat Kementerian Kesihatan serta pelajar sekolah meraikan keberangkatan berlepas Seri Paduka berdua dalam kembara itu, manakala orang ramai yang hadir bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Terdahulu, Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar membacakan doa bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan Seri Paduka berdua serta peserta konvoi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan merakamkan gambar kenangan di kawasan Bulatan 0KM, yang melambangkan titik asal penubuhan pusat pentadbiran awam di bandar Tawau dan menjadi penanda jarak ke pelbagai destinasi di seluruh bandar.

Turut hadir menyaksikan pelepasan konvoi itu adalah isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R M Jasni, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, ahli-ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah dan kenamaan yang lain.

Kembara Kenali Borneo hingga 13 September ini akan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 9:48 AM