KEMBARA Kenali Borneo, satu pengembaraan bagi mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak, bakal merealisasikan impian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk mendekati penduduk Sarawak dan Sabah. FOTO BERNAMA
KEMBARA Kenali Borneo, satu pengembaraan bagi mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak, bakal merealisasikan impian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk mendekati penduduk Sarawak dan Sabah. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Sabah bermula hari ini dipenuhi jadual yang padat.

Baginda berdua dijadual tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 3 petang ini dengan disambut Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan jemaah Kabinet negeri.

Turut dijangka hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Malam nanti, baginda berdua dijadual menghadiri majlis pelancaran program Kembara Kenali Borneo dan Santapan Bersama Masyarakat Tawau di Dewan Masyarakat Tawau pada jam 8 malam.

Esok, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah dijadual memulakan Kembara Kenali Borneo dari Tawau, Sabah ke Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer di Titik 0.0 KM Tawau yang akan disempurnakan Tun Juhar pada jam 8.30 pagi.

Setiba di Lahad Datu pada kira-kira jam 11 pagi, baginda berdua dijadual singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu sebelum melawat ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan menghadiri santapan tengah hari serta penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf di Dewan Perdana Lahad Datu.

Selesai program di daerah itu, Kembara Kenali Borneo meneruskan perjalanan ke Sandakan dan dijangka tiba pada lewat petang esok.

Pada hari ketiga Kembara Kenali Borneo, lusa, baginda berdua kemudian dijadual melawat Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan sebelum bertolak ke Telupid dan dijadual tiba di Institut Perhutanan Sabah, Telupid untuk majlis santapan bersama masyarakat setempat pada tengah hari.

Sejurus selesai program di Telupid, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah dan rombongan kembara kemudian bergerak ke Ranau dan singgah di Tagal Sungai Moroli sebelum ke Kundasang pada petangnya.

Pada sebelah malam, program Kembara Kenali Borneo diteruskan pada Majlis Santapan Malam Bersama Masyarakat Setempat di Pentas Rakyat Pekan Kundasang.

Keesokannya, iaitu hari keempat Kembara Kenali Borneo (Rabu), baginda berdua meneruskan perjalanan ke pekan Nabalu, Kota Belud sebelum ke Kota Kinabalu dan menghadiri beberapa program termasuk lawatan ke Jabatan Penjara Sabah di Kapayan dan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah pada sebelah petang.

Baginda berdua kemudian menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada jam 8 malam.

Pada hari terakhir Kembara Kenali Borneo di Sabah, Khamis ini, baginda berdua dijadual menghadiri program di Kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang untuk melawat rumah tradisi dan kraftangan.

Sejurus selesai pada kira-kira jam 10.30 pagi, Kembara Kenali Borneo diteruskan ke daerah Sipitang dan baginda berdua serta rombongan dijadual tiba di Sindumin, dekat sempadan Sabah dan Sarawak pada jam 1 tengah hari.

Di sana, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah dijadual menghadiri program santapan bersama masyarakat setempat dan penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Sahabat Sindumin-Merapok yang terletak di sempadan Sabah Sarawak.

Sejurus selesai pada jam 3 petang, baginda berdua secara rasmi mengakhiri program Kembara Kenali Borneo di Sabah sejauh kira-kira 900 kilometer dan meneruskan perjalanan ke Lawas, Sarawak dan Brunei Darussalam sebelum ke Miri untuk Kembara Kenali Borneo di negeri jiran itu pula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 1:03 PM