ANTHONY Loke. FOTO NSTP.
ANTHONY Loke. FOTO NSTP.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti itu pada masa kini.

"Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.

"Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP," katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Loke juga berkata, Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP dan kenyataan dikeluarkan itu adalah atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

"Kepimpinan tertinggi DAP sudah membuat keputusan, dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik," katanya.

Media malam tadi melaporkan, Pua ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, secara 'tiba-tiba' menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'corrupt coalition' atau pakatan 'korup'.

Pua dalam ucapan sama turut menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu tanpa membabitkan Umno dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Untuk itu, katanya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 10:12 AM