Azman menyantuni masyarakat Orang Asli di kelas PROKHAS di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Azman menyantuni masyarakat Orang Asli di kelas PROKHAS di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited menubuhkan Projek Kelas Khas (PROKHAS) di kawasan pedalaman Orang Asli bagi mengurangkan masalah keciciran.

Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata penubuhan PROKAS di penempatan juga dapat membantu kanak-kanak Orang Asli yang terpaksa keluar dari perkampungan mereka untuk ke sekolah.

Katanya, PROKHAS membawa konsep guru yang akan datang ke penempatan untuk mengajar dan mendidik anak-anak Orang Asli yang berada jauh di pedalaman dan sehingga kini terdapat tiga PROKHAS di negara ini.

"Kita akan teliti dan lihat kesesuaiannya dan yang paling penting adalah komitmen daripada kementerian untuk memberi akses pendidikan kepada semua murid.

"Sekiranya mereka (anak-anak Orang Asli) ada masalah dari segi jarak untuk hadir ke sekolah maka konsepnya adalah seperti ini, kita akan pergi ke kawasan pedalaman.

"KPM juga memastikan tiada berlaku keciciran pembelajaran, kita ada sekolah K9 dan K11 iaitu di sekolah rendah murid belajar dari darjah satu sehingga tingkatan tiga di sekolah rendah dan ada murid belajar dari darjah satu sehingga tingkatan 5 di sekolah yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Pendidikan MADANI Sekolah Murid Orang Asli, di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata penubuhan PROKHAS juga dapat mengurangkan keciciran di kalangan murid-murid Orang Asli.

"Sehingga sekarang ini kita dapat kurangkan keciciran Orang Asli. Kita komited memastikan inisiatif seumpama ini dapat dilaksanakan kerana lebih praktikal untuk pastikan mereka datang ke sekolah.

"Contoh di Kampung Kuala Koh ini ada 44 orang umur antara tujuh hingga sembilan tahun.

"Selepas itu murid-murid ini boleh ditempatkan di sekolah berasrama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi pasir dan semua ini akan diuruskan oleh pihak sekolah dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)" katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata tidak ada tindakan diambil terhadap pihak pentadbiran sekolah berkait isu kematian murid yang maut semasa program merentas desa di sebuah sekolah kerana sudah mengikut garis panduan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:26 PM