Aishah menceritakan kejadian ragut yang menimpanya. FOTO Nur Syazwana Mansor
Aishah menceritakan kejadian ragut yang menimpanya. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor


WARGA emas kerugian RM3,000 selepas rantai lehernya diragut seorang lelaki yang menolaknya sehingga terjatuh di Kampung Batu 18 1/2, Guar Chempedak, Yan, hari ini.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, mangsa, Aishah Abdullah, 74, turut cedera di kepala dan menerima beberapa jahitan akibat terjatuh ketika bergelut dengan suspek.

Aishah berkata, ketika kejadian itu, dia tinggal bersendirian di rumah kerana anak perempuannya keluar berniaga di gerai makanan berhampiran rumah manakala cucunya ke sekolah.

"Ketika saya berada di dapur, tiba-tiba pintu dapur yang tidak berkunci dibuka sebelum lelaki itu yang memakai topi keledar terus masuk dan menyerang. Dia merentap rantai leher serta menolak saya sehingga terjatuh.

"Lelaki itu melarikan diri dengan motosikal. Saya mengenalinya kerana dia tinggal di kampung berdekatan dan beberapa kali datang ke rumah ini sejak kebelakangan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Aishah berkata, dia tidak sangka kali ini lelaki itu datang dengan niat jahat menyebabkan dia kerugian selain cedera di kepala.

"Selepas kejadian itu saya mengayuh basikal ke gerai makan anak yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah bagi memaklumkan hal berkenaan sebelum ke Balai Polis Guar Chempedak untuk membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhammad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Polis kini sedang mengesan lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 7:13 PM