Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Tindakan seorang lelaki cuba meragut rantai leher wanita warga emas di sebuah kedai runcit, di sini, semalam, mengundang padah apabila dia dipukul orang awam yang menangkapnya sebelum diserahkan kepada polis.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa, K Thailamah, 67, dari Bemban, di sini, sedang membeli barangan di sebuah kedai runcit sebelum didatangi suspek berusia 52 tahun yang cuba merentap rantai lehernya.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sakri Yusoff@Zahari berkata, cubaan meragut rantai leher mangsa itu bagaimanapun tidak berjaya.

“Suspek dipercayai menggunakan pisau cukur sebagai senjata untuk merentap rantai leher mangsa. Apabila tidak berjaya, suspek cuba melarikan diri sebelum ditangkap orang awam.

“Akibat cubaan ragut itu, mangsa mengalami kecederaan luka pada leher dan menerima 24 jahitan. Mangsa ditahan di wad pemerhatian Hospital Jasin,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:48 AM