GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Seorang jururawat kerugian RM10,000 apabila menjadi mangsa samun dua lelaki yang menceroboh masuk rumahnya di Bandar Puteri Jaya, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, wanita berusia 37 tahun terbabit berada di ruang tamu bersama ibunya di rumah teres dua tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ketika kejadian itu dua lelaki secara tiba-tiba masuk ke dalam rumah mangsa sebelum mengacukan parang.

"Seorang daripada suspek mengacukan parang dan meminta mangsa serta ibunya tidak melawan.

"Rakan suspek pula naik ke tingkat atas dan merampas barang berharga dalam empat bilik di rumah terbabit," katanya.

Menurutnya, selepas selesai mengambil barang berharga, dua suspek terbabit dalam keadaan kelam kabut terus melarikan diri.

"Hasil siasatan awal mendapati, dua suspek berkenaan masuk melalui pintu gelongsor (sliding door) yang tidak berkunci dan keluar melalui laluan sama.

"Ketika kejadian ibu mangsa baru masuk ruang tamu selepas selesai melakukan upacara sembahyang di dalam kawasan pagar rumah," katanya.

Zaidy berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek melarikan dua rantai serta dua gelang emas, beg tangan, sebuah telefon bimbit, pengering dan pelurus rambut serta wang tunai berjumlah RM350.

"Kerugian dialami mangsa dianggarkan bernilai RM10,000 dan wanita terbabit bersama ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati dua suspek berkenaan menaiki kereta Proton Wira kelabu namun nombor pendaftaran gagal dikenalpasti," katanya.

Menurutnya, usaha menjejaki suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 6:05 PM