Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis tampil membuat laporan polis berkaitan isu kiraan undi yang didakwa meragukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, kelmarin.

Laporan itu dibuat Shaari Abdul Malik iaitu wakil calon PH DUN itu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, petang tadi.

Shaari mendakwa, beliau dan jentera mendapati berlaku keraguan di pusat mengundi di DUN terbabit termasuk isu 1,964 undi yang tidak dikembalikan.

"Biarpun kita kalah dengan hanya 167 undi, perkara itu dianggap keraguan besar kerana semua undi yang dinyatakan tidak dimasukkan dalam peti undi.

"Kita ada membuat bantahan namun kurang dilayan dan perlu membuat laporan polis serta petisyen bagi tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di luar pekarangan IPD itu.

Media sebelum ini melaporkan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mempertimbang untuk memfailkan petisyen pilihan raya, bagi membatalkan keputusan beberapa kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN), dalam PRN Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya DUN Sungai Kandis, Syaril Showkat Ali berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan mengharapkan siasatan dilakukan.

Katanya, pihaknya juga sudah mendapatkan nasihat pengamal undang-undang bagi membuat laporan polis mengenai isu tersebut dan akan membuat tindakan susulan dengan petisyen di mahkamah.

Pertembungan tiga penjuru kerusi itu dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Wan Dzahanurin Ahmad dengan majoriti 167 undi selepas memperoleh 28,926 undi menewaskan Mohd Zawawi (28,759 undi) dan Afriena Shaqira Sariff dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (1,341 undi).

Shaari Abdul Malik (empat dari kanan) bersama Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. FOTO AIZ ANUAR
Shaari Abdul Malik (empat dari kanan) bersama Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. FOTO AIZ ANUAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 6:15 PM