Siti Rohana Idris


Tumpat: "Dua minggu lalu anak ada sebut, dia ingin mati syahid dengan membantu orang lain dan impiannya akhirnya termakbul," kata Noridawati Ismail.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Muhammad Aidil Zaquan Abdullah, 13, ditemukan lemas dalam tali air berhampiran rumahnya di Kampung Kubang Sawa, Pengkalan Kubor, di sini.

Noridawati, 33, berkata, anak sulungnya memberitahu hasratnya untuk mati syahid ketika dia menunjukkan video mengenai kebaikan mati dalam keadaan itu.

"Saya memberitahunya sangat beruntung sesiapa yang mati syahid dan Abe (Muhammad Aidil) terus menjawab dia pun ingin mati dalam keadaan membantu orang sebegitu.

"Tidak sangka hasratnya betul-betul termakbul apabila Abe pergi ketika ingin menyelamatkan dua sepupunya yang nyaris lemas di tali air, petang semalam," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Noridawati berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat kerjanya di Chabang Empat, di sini, sebelum dihubungi ahli keluarga yang memberitahu kejadian menimpa anaknya itu.

Menurutnya, kebiasaannya dia pulang dari tempat kerja pada 6 petang, tetapi terlewat semalam kerana menunggu hujan berhenti.

Katanya, apabila mengetahui kejadian buruk itu, dia segera pulang tanpa mengetahui sama ada anaknya selamat atau tidak.

"Sebaik tiba di tali air, luluh hati saya melihat Abe sudah terbujur kaku tidak bernyawa dan baru saya terlintas mengenai kata-katanya yang ingin mati ketika menolong orang lain.

"Abe juga suka bergurau dengan ahli keluarga kebelakangan ini sedangkan dia seorang pendiam. Kami tidak menyangka itu antara perubahan sikapnya sebelum ajal menjemput," katanya.

Jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang, di sini, kira-kira 10 pagi tadi.

Sebelum kejadian, Muhammad Aidil dikatakan berada di padang bola tidak jauh dari tali air dan ternampak beberapa remaja sedang mandi yang mana dua daripadanya dipercayai sedang lemas.

Difahamkan, mangsa segera terjun ke dalam tali air untuk memberi bantuan dan dua sepupunya itu berjaya berpegang di sebuah perahu usang, manakala mangsa pula lemas.

Sementara itu, datuk mangsa, Ismail Mamat, 67, berkata sebaik mengetahui kejadian, dia yang berada di rumah segera ke tali air lalu terus terjun untuk mencari mangsa.

"Tiga kali saya menyelam sehingga semput, namun cucu masih tidak dijumpai sehinggalah kali keempat (selaman) akhirnya dapat mencapai sebelah kakinya dalam kedalaman kira-kira 4.5 meter.

"Ketika dinaikkan ke tebing, cucu sudah tidak bernyawa dan tubuhnya juga kebiru-biruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 1:25 PM
Noridawati Ismail, 33, menunjukkan foto Muhammad Aidil Zaquan Abdullah, 13, yang ditemukan lemas di tali air di Kampung Kubang Sawa, Pengkalan Kubor ketika cuba menyelamatkan dua sepupunya yang nyaris lemas petang semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Noridawati Ismail, 33, menunjukkan foto Muhammad Aidil Zaquan Abdullah, 13, yang ditemukan lemas di tali air di Kampung Kubang Sawa, Pengkalan Kubor ketika cuba menyelamatkan dua sepupunya yang nyaris lemas petang semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS